Hoki

UniKL sertai MHL

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Desas-desus mengenai tiada pembabitan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini terjawab selepas penyertaan juara bertahan itu disahkan oleh Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan MHC, Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata, UniKL akan beraksi di MHL bersama enam lagi pasukan lain bagi saingan musim ini. "Saya mendapat banyak panggilan mengatakan UniKL tidak bermain. Jangan dengar khabar angin kerana sekarang sudah ada bukti UniKL akan tetap beraksi (MHL 2022)," katanya pada sidang media yang diadakan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini. Menurut Anil, pendaftaran sudah ditutup pada 25 Januari lalu dengan tujuh pasukan mengesahkan untuk mengambil bahagian di MHL musim ini iaitu Pasukan Hoki Terengganu (THT), Tenaga Nasional Berhad (TNB), TNB Thunderbolts, Maybank, Nurinsafi Sporting, UniKL dan UiTM.

"Empat pemain import dibenarkan untuk satu pasukan tetapi sekarang bukan masa sesuai mengambil import kerana perlu ikut banyak SOP (prosedur operasi standard) dengan baki dua minggu sebelum kejohanan bermula," katanya.

Sementara itu, bagi saingan wanita pula menyaksikan enam pasukan sah mengambil bahagian iaitu Sabah, KPT-Uniten Thunderbolts, Mutiara Impian MSSPP-PSHA, Negeri Sembilan Girls, Sarawak dan pasukan pembangunan kebangsaan.

Anil turut menjelaskan tarikh penganjuran MHL 2022 yang bermula 18 Februari hingga Jun, dipendekkan pada hujung Mac depan kerana mahu memberi lebih masa kepada pasukan kebangsaan menjalani latihan.

"Sepatutnya berakhir Jun tetapi kita awalkan kepada penghujung Mac kerana takut bercanggah dengan kalendar FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa) dan AHF (Persatuan Hoki Asia).

"Saya juga percaya ketua jurulatih skuad negara pun perlukan masa untuk pemain kebangsaan berlatih," jelasnya.

Saingan MHL musim ini juga bakal membabitkan lima gelanggang iaitu di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Stadium Hoki MBKT Batu Buruk, Terengganu, Stadium Hoki Bertam, Pulau Pinang, Stadium Hoki Seremban 2 dan Stadium Hoki Majlis Perbandaran Klang

Disiarkan pada: February 4, 2022 @ 7:23pm
d