Hoki

Arul umum senarai skuad Malaysian Tigers

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Jurulatih skuad hoki lelaki negara, A Arulselvaraj hari ini mengumumkan barisan 28 pemain yang tersenarai di dalam skuad senior bagi tahun 2022 dan pemain-pemain ini akan terus dipantau prestasi mereka ketika Kejohanan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2022 yang akan membuka tirai pada 18 Februari hingga 31 Mac depan.

Antara yang tersenarai ialah, pemain yang beraksi ketika Piala Razak 2021 bagi pasukan Pahang, Tengku Nasrul Ikmal Tengku Abd Rahim berjaya menambat hati Arulselvaraj untuk dipanggil menyertai pasukan kebangsaan dan ini adalah penampilan pertamanya bersama pasukan negara.

Sementara itu, lima pemain daripada senarai berkenaan adalah pemain yang beraksi di Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2021 baru-baru ini iaitu Muhammad Arif Shafie Ishak, Muhammad Amirul Hamizan Azahar, Syarman Mat Tee, Muhajir Abdu Rauf, dan Alfarico Lance Liau Jr.

Jelas Arulselvaraj, senarai 28 pemain ini akan berubah selepas tamat saingan MHL 2022 dan pemain-pemain ini perlu membuktikan kemampuan mereka serta mengapa mereka berhak untuk terus berada di dalam senarai skuad senior lelaki kebangsaan.

"Pemilihan pemain untuk senarai 28 ini adalah berdasarkan prestasi mereka sepanjang bersama pasukan kebangsaan dan untuk enam pemain baru, mereka dinilai ketika beraksi di Kejohanan Piala Razak 2021 dan Piala Dunia Remaja Lelaki baru-baru ini.

"Bagaimanapun, mereka akan diperhatikan serta dinilai sekali lagi dalam saingan MHL 2022 dan senarai 28 pemain ini pasti akan berubah selepas tamat saingan liga.

"Penilaian pemain-pemain ketika MHL 2022 tidak hanya tertumpu kepada pemain kebangsaan sahaja tetapi saingan liga ini juga adalah peluang untuk pemain lain membuktikan diri mereka bagi mencabar tempat dalam pasukan kebangsaan.

"Saya berpesan kepada pemain-pemain bahawa mereka perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya kepada pasukan yang mereka wakili serta prestasi mereka sepanjang kejohanan berlangsung.

"Saya juga menuntut pemain-pemain untuk memberikan aksi yang lebih daripada biasa sepanjang saingan liga dan ini bermaksud mereka perlu membuat kerja yang lebih di dalam padang serta rajin.

"Saya bukan hanya melihat kepada permainan hoki mereka tetapi juga tahap kecergasan fizikal, ketahanan dan kematangan mereka terutamanya ketika perlu membuat keputusan di dalam padang. Jadi mereka perlu buat kerja lebih.

"Untuk pemain kebangsaan juga saya akan melihat jadual liga yang akan dikeluarkan nanti dan saya akan menyusun sesi latihan khas untuk mereka.

"Saya akan berhubung dengan pasukan-pasukan yang mereka wakili untuk memaklumkan mengenai perancangan sesi latihan pasukan kebangsaan," jelasnya.

Disiarkan pada: February 7, 2022 @ 4:38pm
d