Hoki

Marhan buru tiga piala bersama THT

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Tiga piala menjadi buruan pemain baharu Pasukan Hoki Terengganu (THT), Muhammad Marhan Mohd Jalil dalam kancah Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini.

Kapten skuad The Malaysian Tigers itu yang mengikat kontrak semusim bersama skuad itu berkata, kualiti yang ada dalam kalangan pemain skuad THT adalah aset berharga untuk melakar kejayaan hatrik musim ini.

Tambah pemain kelahiran Johor berusia 32 tahun itu, kehadiran bekas pengendali skuad wanita kebangsaan, Roslan Jamaluddin yang juga bekas pembantu jurulatih THT juga mampu menyuntik semangat rakan sepasukannya untuk memburu kejuaraan itu bermula dengan saingan Piala Sumbangsih menentang Tenaga Nasional Berhad (TNB) Jumaat ini.

"Apa yang saya lihat pasukan kami mempunyai ramai pemain berkualiti di setiap posisi selain kekuatan daripada segi pukulan sudut penalti dengan peningkatan pada setiap tahun.

"Jadi bagi saya THT tiada masalah untuk merangkul piala musim ini, sebab itu sasaran peribadi saya untuk menghadiahkan tiga piala kejuaraan musim ini dengan fokus dalam setiap perlawanan untuk mencapai sasaran itu.

"Bagaimanapun sasaran itu perlu diiringi komitmen yang tinggi daripada rakan dengan beraksi sebagai satu pasukan serta tidak cepat mengalah sebaliknya segera bangkit jika ketinggalan," katanya ketika dihubungi.

Berdasarkan pencapaian peribadinya, Marhan yang kini menetap di Negeri Sembilan sudah membuat 270 penampilan bersama skuad kebangsaan selain lima musim menyarung jersi UniKL.

Pencapaian tertinggi pemain yang mampu beraksi di posisi pertahanan dan tengah itu ialah mewakili negara dalam Kejohanan Piala Dunia sebanyak dua kali selain membantu skuad kebangsaan meraih pingat perak sebanyak dua kali dalam pentas Sukan Asia.

Ketika bersama UniKL, Marhan berjaya membantu pasukan itu meraih Piala Sumbangsih sebanyak dua kali pada tahun 2020 dan 2021, juara Liga MHL sebanyak tiga kali bermula 2019 hingga 2021 dan Piala TNB pada 2018 dan 2020.

Penyandang juara Piala TNB itu yang sebelum ini mengikat seorang lagi pemain kebangsaan, Sukri Mutalib bakal berentap dengan TNB pada 18 Februari ini dalam saingan Piala Sumbangsih di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil selepas UniKL menarik diri dalam kancah MHL musim ini.

Disiarkan pada: February 15, 2022 @ 2:28pm
d