Hoki

Maybank awasi ancaman TNB

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Prestasi luar biasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak kebelakangan ini memberi amaran kepada pendahulu Liga Hoki Malaysia (MHL) iaitu Maybank supaya lebih berhati-hati menjelang pertemuan dua pasukan itu di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, esok.

Selepas gagal menjulang Piala Sumbangsih pada aksi pembukaan musim berdepan Pasukan Hoki Terengganu (THT) apabila tewas 2-3 minggu lalu, TNB ternyata melepaskan geram mereka apabila membelasah skuad pembangunan negara 17-0 semalam.

Justeru Ketua Jurulatih Maybank, Azrul Effendy Bistamam tidak senang duduk apabila mahu anak buahnya manfaat setiap peluang untuk menjaringkan gol bagi mengelak menjadi mangsa kepada TNB.

"Deretan peluang di depan gol gagal diterjemahkan dan ia antara punca kami seri 2-2 dengan THT baru-baru ini. Namun, keputusan ini masih menyaksikan kami berada pada landasan yang betul.

"Selepas ini kami akan bertemu satu lagi pasukan pilihan iaitu TNB. Harapnya pemain dapat kekalkan struktur permainan yang sama.

"Cara kami tetap sama iaitu berikan segala-galanya yang kami ada untuk dapatkan kemenangan ke atas TNB. Setiap peluang perlu disempurnakan untuk keluar sebagai pemenang," kata Azrul Effendy.

Maybank sudah pastinya akan menurunkan barisan pemain utama bagi mencerahkan peluang merebut tempat sebagai pendahulu MHL.

Antara ayam tambatan yang bakal diturunkan kelak adalah pakar flick kebangsaan, Muhammad Razie Abd Rahim yang kini mendahului carta penjaring terbanyak MHL dengan enam gol daripada tiga perlawanan setakat ini.

Disiarkan pada: February 23, 2022 @ 4:40pm
d