Hoki

Mesyuarat Agung Tahunan PHKL 'haram'?

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL) yang akan berlangsung esok dianggap haram disebabkan beberapa faktor termasuk tanpa mendapatkan kebenaran ahli gabungan persatuan itu.

Salah satu daripada ahli gabungan PHKL, Persatuan Pendidikan Hoki Kuala Lumpur (Hockademy) dalam satu kenyataan mendakwa terdapat kegagalan kepimpinan pemangku presiden, I Vikneswaran di mana arahan mengeluarkan notis memanggil AGM esok adalah tanpa kebenaran atau persetujuan Ahli Majlis dalam satu Mesyuarat Majlis pada 5 Februari lalu memandangkan ia bercanggah dengan Perlembagaan PHKL.

Justeru itu, Hockademy menerusi satu surat dikemukakan kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof memohon untuk 'campur tangan' menyekat pelaksanaan AGM itu.

"Sebagai makluman pihak tuan (PJS), pemangku presiden dan pemangku setiausaha memanipulasikan minit mesyuarat bagi mesyuarat yang diadakan pada 5 Februari 2022 untuk tidak mencatat perkara sebenar yang sudah dibincangkan.

"Turut dimaklumkan, seorang Ahli Majlis yang menghadiri mesyuarat pada tarikh berkenaan memohon pemangku setiausaha untuk membuat pindaan minit berkaitan perkara sebenar berlaku iaitu menangguhkan AGM supaya dapat memberi peluang kepada ahli gabungan untuk membayar yuran tahunan dan yuran bakinya serta sebulat suara ahli bersetuju akan perkara berkenaan.

"Ahli Majlis itu juga meminta pemangku setiausaha mengemukakan pindaan minit yang sudah dikemaskini dihantar kepada kepada Ahli Majlis dan sekiranya boleh dimaklumkan jika ada bantahan daripada mereka.

"Kami difahamkan bahawa masih belum menerima jawapan daripada mereka. Ini jelas membuktikan bahawa panggilan AGM oleh pemangku presiden tidak mendapat persetujuan Ahli Majlis yang menghadiri mesyuarat berkenaan," kata Hockademy dalam satu kenyataan.

Surat aduan yang ditandatangani Setiausaha Hockademy, Zahairinizal Zakaria itu turut mendakwa Mesyuarat Majlis sudah lima bulan tidak diadakan memandangkan pemangku presiden 'sibuk' dengan tugasannya selaku pengurus pasukan remaja kebangsaan manakala setiausaha PHKL digantung Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Sementara itu, Ibrahim ketika dihubungi berkata, pihaknya belum dimaklumkan berhubung aduan itu dan akan membuat semakan lebih lanjut.

Disiarkan pada: February 25, 2022 @ 7:33pm
d