Hoki

NS Girls benam KPT-Uniten Thunderbolts

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Beraksi dalam hujan jelas tidak menjejaskan aksi pasukan Negeri Sembilan (NS) Girls apabila berjaya menewaskan KPT-Uniten Thunderbolts, 1-0, dalam perlawanan Liga Hoki Malaysia (LHM), di Stadium Hoki Seremban 2 di sini, petang ini.

Hanis Nadiah Onn, muncul wira NS Girls apabila jaringannya pada separuh masa kedua membantu meletakkan skuad berkenaan terus mendominasi carta liga dengan mengumpul 22 mata, manakala KPT-Uniten Thunderbolts masih kekal di tangga kedua dengan 19 mata.

Kapten NS Girls, Nor Adila Malek, ternyata gembira dengan keputusan positif itu hasil kerjasama rakan sepasukan yang bekerja keras dan berjuang habis-habisan bagi mengekalkan rentak kemenangan.

Menurutnya, biarpun beraksi dalam cuaca yang mencabar seawal minit pertama permainan, namun ia tidak mengganggu fokus pemain untuk memburu gol kemenangan.

"Kami menerima tentangan sengit daripada pasukan lawan, namun berjaya mengimbangi kekuatan dan serangan mereka. Ketangkasan Farah Ayuni Abdullah dalam mengawal gawang berjaya menafikan beberapa percubaan merbahaya pemain lawan.

"Kami juga berpeluang mendapatkan gol kedua menerusi penalti stroke tetapi percubaan itu diselamatkan penjaga gol KPT-Uniten Thunderbolts.

"Apapun kami amat gembira dengan kemenangan ketujuh ini kerana yang penting kami meraih mata penuh sekali gus dapat kekalkan rekod tanpa kalah setakat ini," katanya selepas perlawanan.

Jaringan itu terhasil menerusi pukulan pendek selepas bola ditolak masuk dalam kawasan D oleh Noraini Abdul Rashid.

"Kemenangan ini sangat berharga kerana ia akan dapat membantu pasukan dalam usaha merealisasikan sasaran kejuaraan liga tahun ini," kata Nor Adila.

Sementara itu, Hanis Nadiah ternyata gembira kerana jaringan tunggalnya itu meletakkan status pasukan terus unggul di persada liga.

Katanya, kemenangan yang terhasil itu adalah atas komitmen dan kerjasama dari semua rakan sepasukan yang memberikan persembahan cemerlang walaupun terpaksa beraksi dalam cuaca hujan.

NS Girls akan menentang Sabah di gelanggang sama pada Khamis ini dan berdepan Mutiara Impian di Stadium Bertam, Pulau Pinang pada Ahad.

Keterangan gambar1. PEMAIN NS Girls ketika merayakan kemenangan selepas menewaskan KPT-Uniten Thunderbolts, 1-0, pada aksi Liga Hoki Malaysia (LHM), di Stadium Hoki Seremban 2 petang tadi. Foto Mohd Amin Jalil.2. HANIS Nadiah Onn gembira selepas menjaringkan gol yang membantu NS Girls kekal di persada liga. Foto Mohd Amin Jalil

Disiarkan pada: March 7, 2022 @ 10:12pm
d