Hoki

NS Girls hampiri gelaran

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Negeri Sembilan (NS) Girls hampir dinobatkan selaku juara Liga Hoki Malaysia (LHM) 2022 selepas merakam kemenangan bergaya menewaskan Sabah, 4-0, dalam aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Seremban 2, di sini, petang tadi.

Berikutan kemenangan itu, skuad bimbingan K Rajan kini mengumpul 25 mata daripada sembilan perlawanan dan mereka bakal melengkapkan jadual liga apabila bakal bertemu Mutiara Impian di Stadium Bertam, Pulau Pinang, Ahad ini.

Dalam aksi hari ini, NS Girls ternyata mendominasi permainan apabila melakukan banyak serangan merbahaya di kawasan pintu gol lawan seawal minit pertama permainan.

Bagaimanapun pada separuh masa pertama, mereka dilihat mensesiakan banyak peluang jaringan kecuali gol pembukaan menerusi Nurfatin Dizana Mohd Zaidi pada minit ke-13.

Kelemahan itu mendapat teguran daripada Rajan dan kesannya pemain NS Girls kemudiannya mengubah tempoh permainan pada separuh masa kedua.

Hasilnya mereka meledak tiga gol pada separuh masa kedua menerusi Irdina Madihah Azmi pada minit ke-35 disusuli Hanis Nadiah Onn, di minit 43 manakala Fatin Shafika Mahd Sukri melengkapkan keputusan bergaya menerusi jaringan keempat pada minit ke-58.

Sabah ternyata gagal menyaingi kehebatan NS Girls apabila pasukan itu lebih banyak bertahan kecuali melakukan sesekali serangan balas tetapi tidak menepati sasaran.

Kapten NS Girls, Nor Adila Malek, menyifatkan kemenangan itu adalah hasil kerjasama dan semangat tinggi rakan sepasukan.

Menurutnya, walaupun dari awal dia dan rakan sepasukan yakin mampu menewaskan pasukan lawan, namun ternyata perlawanan hari ini bukan mudah untuk dimenangi.

"Sabah jelas memberikan tentangan sengit cuma mereka tidak berjaya menjaringkan gol walaupun mempunyai peluang, selain beberapa percubaan daripada serangan dapat dipatahkan bahagian pertahanan dan penjaga gol," katanya.

Bagi Hanis Nadiah, dia gembira dapat menyumbang gol buat pasukan selepas membantu mereka menewaskan KPT-Uniten Thunderbolts menerusi jaringan tunggal dalam aksi di gelanggang sama sebelum ini.

"Kini, kami sudah menghampiri untuk menjulang kejuaraan liga walaupun masih ada satu lagi perlawanan terakhir yang sekadar hanya menjadi pelengkap," katanya.

Disiarkan pada: March 10, 2022 @ 9:37pm
d