Hoki

Belajar daripada kekalahan - Arul

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Malaysian Tigers terlepas peluang terbaik untuk menamatkan penantian 40 tahun bergelar juara Piala Asia namun ketua jurulatih negara, A Arul Selvaraj yakin barisan pemain sudah akan dapat mempelajari sesuatu daripada kegagalan itu.

Malaysia terpaksa akur akan kegagalan misi untuk muncul juara apabila tewas kepada Korea Selatan 1-2 pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Gelora Bung Karno.

Walaupun tidak berjaya muncul juara Asia, namun Malaysia sudah mengesahkan tiket ke Piala Dunia 2023 di India yang bermula 13 hingga 29 Januari depan selepas menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik di Jakarta.

Namun Arul berkata, Korea sememang berhak untuk bergelar juara kerana mereka berjaya menghasilkan gol kemenangan dan menghalang serangan balas skuad negara terutama ketika pukulan sudut penalti.

"Saya tahu pemain sudah memberi yang terbaik sepanjang kejohanan ini. Mereka buat persiapan dan kaji setiap perlawanan menerusi video dan buat kerja rumah dengan nota-nota penting.

"Kami ajar pemain untuk mereka jadi ketua yang ambil tanggungjawab saya sangat berpuas hati dan pujian harus diberikan kepada mereka.

"Tapi apa yang mengecewakan adalah kita hanya 'one meter too far, one second too slow' dan itulah yang menentukan segalanya.

"Apapun kita boleh belajar daripada kekalahan ini dan bagaimana cara untuk menang kejuaraan nanti. Memenangi perlawanan adalah bagus tetapi macam mana kita mahu memenangi kejuaraan yang menjadi perlawanan terakhir dalam kejohanan," katanya.

Kekalahan di tangan Korea Selatan menyaksikan skuad negara mengulangi pencapaian terbaik sebelum ini apabila turut muncul naib juara pada edisi 2017 di Dhaka, Bangladesh sejak kejohanan diperkenalkan pada 1982.

Korea Selatan pula merekodkan kejuaraan kelima pasukan itu selepas turut mengungguli saingan bermula 1994 (Hiroshima), 1999 (Kuala Lumpur), 2009 (Kuantan) dan 2013 (Ipoh).

Disiarkan pada: June 2, 2022 @ 5:52pm
d