Hoki

Razie elak rasa bangga diri

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Status sebagai pakar sudut penalti bukanlah tiket untuk pemain hoki negara Muhamad Razie Abd Rahim untuk terus leka dibuai gelaran itu sehingga menidakkan sumbangan rakan sepasukan lain terutama pada kejohanan Piala Asia 2022 baru-baru ini.

Razie dinobatkan sebagai penjaring terbanyak pada kejohanan terbabit apabila merekodkan keseluruhan 13 gol termasuk hatrik dalam tiga perlawanan.

Katanya, latihan intensif dan kerjasama daripada rakan sepasukan membantunya untuk mencipta jaringan dalam setiap perlawanan yang disertainya.

"Alhamdulillah menerima anugerah penjaring terbanyak pada kejohanan Piala Asia baru-baru ini namun seperti biasa gelaran itu adalah hasil daripada kerja berpasukan.

"Semua pihak bekerja keras dalam pasukan dan saya hanya membantu untuk menghasilkan gol saja bagi memastikan pasukan memperoleh kejayaan.

"Saya tiada rahsia untuk pastikan setiap pukulan sudut penalti menerjah gol cuma kerap melakukan latihan intensif untuk meningkatkan lagi kemahiran dan corak permainan," katanya.

Pada perlawanan akhir Piala Asia 2022 Khamis lalu menyaksikan Malaysia tewas 1-2 kepada Korea Selatan dalam aksi yang berlangsung di Stadium Geloro Bung Karno, Jakarta.

Hwang Tae-il muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-52 untuk Korea Selatan menjulang kejuaraan kelima.

Disebalik kegagalan membawa pulang emas untuk negara itu, pasukan hoki Malaysia seharusnya berbangga apabila Razie bdinobatkan sebagai penjaring terbanyak.

Disiarkan pada: June 4, 2022 @ 5:00pm
d