Hoki

Skuad hoki 5's akhiri saingan dengan keputusan seri

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Malaysia menutup kempen Kejohanan Hoki 5s Lausanne 2022 dengan dua keputusan seri dan dua kekalahan.

Pada perlawanan terakhir semalam, Malaysia bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Pakistan 5-5 dalam aksi terakhir kejohanan yang berlangsung di Stadium Place de la Navigation itu.

Dalam aksi terakhir, Muhammad Noor Firdaus Rosdi menjaringkan dua gol padang untuk negara, masing-masing pada minit ke-10 dan minit ke-13 sebelum Mohamad Akhimullah Anuar Esook menyumbang dua gol menerusi kelebihan challenge dan pukulan sudut penalti pada minit ke-16 dan 29.

Gol Nabil Fiqri Mohd Noor pada minit ke-20 memastikan Malaysia menutup kempen kejohanan sulung ini dengan keputusan seri dan Nabil Fiqri menyifatkan pasukannya mempunyai peluang untuk memenangi perlawanan tersebut namun tetap berpuas hati dengan keputusan seri yang diraih.

"Saya sedikit kecewa kerana kami mempunyai peluang untuk memenangi perlawanan terakhir ini tetapi keputusan seri ini juga adalah satu keputusan yang baik untuk kami menamatkan kejohanan ini.

"Banyak yang kami belajar daripada kejohanan ini terutamanya bagaimana untuk bermain hoki 5s yang berbeza daripada hoki padang biasa dan perkara yang paling utama kami belajar daripada kejohanan ini adalah untuk memastikan tahap kecergasan yang terbaik sepanjang 20 minit perlawanan berlangsung," jelasnya.

Disiarkan pada: June 6, 2022 @ 5:24pm
d