Hoki

Malaysian Tigers bergaya ke separuh akhir

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Skuad Malaysian Tigers meneruskan rentak kemenangan sekali gus mengesahkan slot ke separuh akhir Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dengan kemenangan bergaya menewaskan Jepun 5-1 dalam aksi ketiga Kumpulan B.

Kemenangan itu menyaksikan skuad bimbingan Arul Selvaraj muncul naib juara Kumpulan B selepas meraih enam mata hasil dua kemenangan manakala Korea Selatan muncul juara kumpulan.

Penjaga gol negara, Muhammad Hafizuddin Othman yang bertindak cemerlang sepanjang perlawanan mengawasi gawang dari ditembusi pihak lawan dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

Dalam aksi yang berlangsung itu menyaksikan skuad negara mendahului Jepun seawal minit kedua menerusi jaringan padang Muhammad Najib Abu Hassan.

Namun kedudukan itu tidak kekal lama apabila Jepun berjaya menyamakan kedudukan menerusi Kosei Kawabe tiga minit berselang.

Bagaimanapun skuad negara mula bertindak agresif dengan memburu gol dan tidak mensia-siakan pukulan sudut penalti untuk gol kedua yang disempurnakan oleh Muhammad Aminuddin Mohd Zain pada minit ke-23 sebelum penyerang terbaik negara, Faizal Saari mencetak nama sebagai penjaring ketiga menerusi jaringan padang minit ke-34.

Muhammad Najib sekali lagi tidak mensia-siakan peluang apabila meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-39 dengan Mohamad Ashran Hamsan melengkapkan kejayaan selesa skuad negara seminit kemudian.

Malaysia akan turun beraksi di separuh akhir Sabtu ini dan akan menentang sama ada Afrika Selatan atau Ireland untuk memburu slot ke perlawanan akhir.

Disiarkan pada: December 1, 2022 @ 9:45pm
d