Hoki

Azimuddin mahu tembusi skuad remaja negara

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Tonggak pasukan SSTMI, Azimuddin Syakir Kamaruddin yang dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Piala Mirnawan sememangnya meletakkan sasaran mahu menjulang kejuaraan kejohanan itu sebagai pemangkin semangat untuk terus berjaya dalam sukan hoki.

Azimuddin berkata, penyertaannya dalam kejohanan terbabit bukannya pergi 'bercuti' atau menimba pengalaman semata-mata namun mahu perbaiki corak permainan supaya tampil lebih meyakinkan pada masa akan datang.

Pada masa sama, pemain hoki berusia 17 tahun itu berkata itu juga memasang impian untuk 'menembusi' pemilihan dalam skuad remaja Piala Dunia yang rata-rata dibarisi tonggak berpengalaman negara.

"Saya datang ke sini (Piala Mirnawan) bukanlah untuk bercuti namun mempunyai matlamat yang perlu dicapai iaitu membawa pulang kejayaan.

"Sudah pastinya perlawanan menentang Jepun bukanlah mudah namun kita tetap bangkit melawan sebelum mencipta kemenangan.

"Sasaran peribadi saya selepas ini untuk terpilih dalam skuad remaja negara ke Piala Dunia dan pada masa sama dapat mengembangkan karier sebagai pemain hoki negara," katanya.

Terdahulu, pasukan SSTMI membuktikan taring mereka apabila dinobatkan juara edisi sulung Piala Mirnawan selepas menewaskan Jepun 4-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil malam tadi..

Beraksi dalam keadaan hujan lebat langsung tidak merencatkan rentak permainan pasukan yang dibimbing oleh Wan Mohd Roslan Wan Abdul Rahman apabila membuka jaringan menerusi gol padang seawal minit pertama.

Jepun bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan enam minit berselang apabila dihadiahkan pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Shintaro.

Corak permainan agresif dipamerkan SSTMI membolehkan mereka kembali mendahului minit ke-25 hasil pukulan sudut penalti yang disempurnakan Azimuddin.

Mohd Syazwan meletakkan SSTMI di hadapan minit ke-35 untuk menjadikan kedudukan 3-1 sebelum Muhammad Danish Haikal melengkapkan kemenangan bergaya SSTMI minit ke-43.

Kejayaan SSTMI itu lebih manis apabila Muhammad Aqil Danial dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan manakala Azimuddin dipilih sebagai penjaring terbanyak perlawanan.

Sementara itu dalam perlawanan akhir kategori perempuan bawah 14 tahun pasukan Sports Odisha dari India dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan pasukan SSTMI Girls 5-0.

Disiarkan pada: December 3, 2022 @ 3:31pm
d