Hoki

Faizal dedikasi dua gol untuk arwah bapa

Oleh Jugjet Singh

Bhubaneswar, India: Penyerang senior yang ditukarkan ke posisi tengah, Faizal Saari menjaringkan dua gol cantik untuk membantu Malaysia menewaskan New Zealand 3-2 dalam aksi terakhir Kumpulan C Piala Dunia Hoki 2023 di Stadium Kalinga, hari ini.

Faizal berkata, dia mendedikasikan jaringannya itu kepada arwah bapanya, Saari Zakaria yang menjadi penyokong nombor satunya.

Arwah bapanya meninggal dunia pada Jun 2021 dan lebih meruntun hati apabila hari lahir bapanya adalah semalam.

"Ia satu kemenangan menarik ke atas New Zealand dan saya dedikasikannya kepada arwah bapa saya yang hari lahirnya semalam.

"Dia adalah penyokong utama saya dan agak sedih untuk mengimbau kembali pengorbanan dilakukannya bagi menjadikan diri saya dan adik saya, Fitri sebagai pemain hoki kebangsaan," kata Faizal.

Faizal bermain dalam Liga Belanda sebelum Piala Dunia dan terlepas pingat emas Piala Sultan Azlan Shah yang dimenangi Malaysia selepas 39 tahun, baru-baru ini.

"Banyak saya belajar di Liga Belanda dan di Piala Dunia, walaupun saya bermain di bahagian tengah, saya turut bermain di depan bagi membantu rakan sepasukan.

"Saya gembira pabila mampu meledak dua gol bagi membantu skuad ini," kata Faizal.

Ketika sesi latihan semalam, Faizal berkata, dia akan cuba menjaringkan gol ketika menentang New Zealand dan janji itu berjaya ditunaikannya.

"Gol pertama agak sukar buat saya dan ia sangat bernasib baik apabila VR (video bantuan pengadil) digunakan untuk mengesahkannya.

"Gol kedua adalah satu peluang berharga dan saya mengambil masa untuk menewaskan penjaga gol dari jarak dekat dalam situasi satu lawan satu.

"Saya boleh cuba untuk melakukan pukulan dengan kuat dari jarak berkenaan, tetapi saya mahu memastikan tiga mata, jadi saya menggelecek penjaga gol dan berjaya menewaskannya," kata kata Faizal.

Malaysia kini mengumpul enam mata selepas mengumpul dua kemenangan dan menutup saingan Kumpulan C di kedudukan kedua di belakang Belanda.

Disiarkan pada: January 19, 2023 @ 7:21pm
d