Hoki

Jurulatih Sepanyol anggap Malaysia lawan sukar

Oleh Jugjet Singh

Bhubaneswar: Ketika Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, Maximiliano Caldas membawa Belanda meraih pingat perak dan hari ini beliau berazam membantu Sepanyol mencatat kemenangan ke atas Malaysia di lokasi sama di Stadium Kalinga.

Caldas mempunyai pasukan termuda dalam Piala Dunia ini, dan penilaiannya terhadap Malaysia menunjukkan bahawa Sepanyol akan menghadapi tentangan sengit.

"Sebelum Piala Dunia, Sepanyol beraksi di Pro League di Stadium Kalinga menentang India dan perlawanan itu berakhir 2-2 (November lalu). Selepas itu kami kebiasaannya berlatih tiga kali seminggu kerana pemain saya juga bermain untuk kelab mereka dalam liga dan bertaburan di seluruh negara.

"Kami mempunyai pasukan termuda di Piala Dunia ini, dan ia menyeronokkan bekerja dengan mereka ketika kami merancang bersama-sama apa yang perlu dilakukan dan saya mendengar pandangan mereka sama seperti mereka mendengar pandangan saya.

"Menjelang perlawanan menentang Malaysia, ia akan menjadi satu pertembungan yang sukar kerana ia adalah satu perlawanan hidup mati buat kedua-dua pasukan.

"Kami berharap dapat menentang Malaysia yang juga pasukan berdisiplin dan mereka mempunyai struktur baik serta sangat teliti (dalam setiap bahagian).

"Apabila mereka menentang New Zealand dan berada di kedudukan 2-2 mereka masih bermain gaya mereka sendiri tanpa mengira menang atau kalah dan ia adalah tanda kematangan walaupun Malaysia juga pasukan yang agak muda.

"Jadi ia akan menjadi perlawanan yang sangat menarik dan saya percaya anak buah saya akan memberikan yang terbaik," kata Caldas yang bermain untuk Argentina pada Sukan Olimpik 1996 dan 2004.

Jurulatih negara, Arul Selvaraj juga memberikan pandangan sama mengenai pemainnya, tatkala berjaya bertahan ketika di kedudukan 2-2 menentang Chile dan New Zealand apabila bermain dengab corak permainan sendiri dan menang 3-2 dalam kedua-dua aksi berkenaan.

Malaysia akan berdepan Sepanyol yang juga pasukan kelapan terbaik dunia 7 malam ini dan kemenangan bukan saja menempatkan mereka ke suku akhir menentang Australia tapi memperbaiki kedudukan ranking.

Disiarkan pada: January 22, 2023 @ 3:21pm
d