Hoki

Misteri skuad Malaysian Tigers perlu dirungkai

Oleh Jugjet Singh

Rourkela, India: Ia adalah kekalahan di tangan Afrika Selatan yang sukar untuk difahami apabila skuad negara sudah ketinggalan 0-3 pada babak pertama dan terus mengejar pasukan di ranking bawah mereka itu sebelum tewas 3-6 dalam perlawanan klasifikasi tempat ke 9-12 di Piala Dunia, semalam.

Pada akhirnya, bermula dari ranking ke-11, Malaysia pada satu ketika naik di tangga ke-9 dan kini kembali menduduki ranking ke-11 sekali lagi dalam ranking dunia.

Selepas perlawanan itu, barisan pemain juga agak kebingungan kerana gagal beraksi dengan baik, malah agak teruk pada 30 minit pertama.

"Perlawanan ini (Afrika Selatan) sangat misteri bukan sahaja untuk barisan kejurulatihan tetapi pemain. Mereka tidak dapat memahami apa yang berlaku selama 30 minit pertama kerana kesemua mereka secara kolektif terus melakukan kesilapan dan kehilangan bola mudah.

"Hanya selepas rehat separuh masa pertama, mereka tiba-tiba menemui rentak serangan tetapi barisan pemain pertahanan terus memberi terlalu banyak ruang kepada Afrika Selatan untuk menjaringkan gol mudah," kata ketua jurulatih Malaysian Tigers, Arul Selvaraj.

Barisan pemain negara sedar akibat daripada beraksi dengan buruk di pentas Piala Dunia.

"Saya beritahu mereka ini bukan sekadar satu lagi perlawanan, tetapi aksi yang mempunyai kesan besar kepada kedudukan ranking juga. Apabila mereka kembali, ada saingan LHM (Liga Hoki Malaysia) dan dengan aksi teruk di sini, ia akan menyebabkan penonton tidak mahu hadir ke stadium.

"Kemudian mereka juga perlu memikirkan tajaan yang diterima menerusi Konfederasi Hoki Malaysia serta tajaan individu.

"Saya beritahu mereka bermain hoki bukan hobi, ia adalah tempat mereka cari makan. Mereka tidak boleh bermain seperti ini lagi.

"Tiada seorang pun daripada mereka dapat memberi saya jawapan yang memuaskan mengenai kekalahan besar ini. Ia benar-benar membingungkan dan mengecewakan," kata Arul.

Jepun sudah jatuh ke ranking 18 dunia selepas dibelasah 0-8 oleh India dan sekiranya tewas di tangan negara Matahari Terbit itu, ia akan meletakkan Malaysia di kedudukan lebih buruk. Untuk rekod, Jepun tewas kesemua empat perlawanannya di Piala Dunia setakat ini.

"Kami tidak berlatih atau mengadakan sebarang sesi taktikal hari ini, sebaliknya melakukan perbincangan untuk memastikan dapat menewaskan Jepun.

"Kami sudah beberapa kali menewaskan mereka sejak kebelakangan ini dan perlu tewaskan mereka lagi demi negara," kata Arul.

Disiarkan pada: January 27, 2023 @ 4:25pm
d