Hoki

Format Piala Dunia pelik, tak adil

Oleh Zulkarnain Azman

Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) berpandangan format yang digunakan pada Piala Dunia Hoki 2023 adalah pelik dan bersifat tidak adil buat pasukan negara.

Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal berpendapat, format yang diguna pakai pada edisi kali ini memberi kesan kepada kedudukan akhir Malaysian Tigers di kejohanan itu meskipun berjaya memenangi beberapa perlawanan.

Jelasnya, dia berharap Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dapat melihat semula berkenaan isu itu sambil berharap format yang lebih adil dapat digunakan dalam kejohanan yang akan dianjurkan selepas ini.

"Bagi saya format kali ini tidak adil kerana kalau diikutkan kita sepatutnya bermain untuk klasifikasi tempat ke-9-12. Macam mana Afrika selatan yang hanya menang sekali dan kita menang tiga perlawanan tetapi mereka tamatkan saingan lebih tinggi dari kita.

"Sepatutnya kalau ikut logik kita akan tamatkan saingan lebih tinggi dari Afrika Selatan. Malah ketika menentang Afrika Selatan mereka dapat rehat lebih lama dan kita pula perlu bergerak ke venue yang lebih jauh dan ia menyebabkan pemain penat.

"Ini cuma pandangan saya sahaja. Jadi saya berharap FIH dapat lihat semula format yang digunakan pada Piala Dunia kali ini untuk kejohanan yang akan datang," katanya.

Pada edisi Piala Dunia kali ini, skuad negara menamatkan saingan di kedudukan ke-13 berkongsi kedudukan bersama Perancis selepas menewaskan Jepun 3-2, semalam.

Untuk rekod, berdasarkan format baharu di Piala Dunia 2023, pasukan tercorot dalam setiap kumpulan berpeluang memperbaiki kedudukan akhir apabila mereka akan bermain untuk penentuan tempat ke-9-16.

Berbanding edisi sebelum ini pasukan yang berada di kedudukan tercorot kumpulan, kedudukan akhir mereka akan ditentukan menerusi bilangan mata yang dikumpul pada aksi peringkat kumpulan.

Dalam pada itu Subahan memberitahu pihaknya kan cuba memastikan format tidak adil itu tidak akan digunakan pada Piala Dunia Remaja Hoki yang akan berlangsung di Kuala Lumpur hujung tahun ini.

Jelas Subahan isu berkenaan akan dibawa dalam mesyuarat jawatankuasa kejohanan yang akan berlangsung tidak lama agi.

"Untuk Kejohanan Piala Dunia Remaja, kami ada kelebihan yang mana MHC akan terlibat. Dalam satu atau dua minggu lagi kita akan bermesyuarat.

"Dalam mesyuarat itu kita akan suarakan perkara ini dan harap FIH akan dengar berkenaan isu ini dan akan menukarnya pada kejohanan berkenaan," ujarnya.

Disiarkan pada: January 29, 2023 @ 4:30pm
d