Hoki

Sukan Asia sah tiket kelayakan ke Sukan Olimpik

Oleh Jugjet Singh

Bhubaneswar, India: Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) mengesahkan kelayakan Sukan Olimpik untuk Asia akan diadakan di China pada September depan.

Presidennya, Datuk Tayyab Ikram berkata, pihaknya sebelum ini meragui kemampuan China untuk menganjurkan Sukan Asia dan sudah bersedia dengan pelan B, namun situasi berkenaan sudah diselesaikan.

"FIH ingin memberi jaminan kepada negara Asia bahawa Sukan Asia akan diadakan seperti yang dijadualkan (pada September) dan hoki akan dimainkan di sana.

"Stadium hoki sudah siap dan FIH akan mengadakan pertemuan dengan tuan rumah Sukan Asia pada Mac. Tiada apa yang perlu dirisaukan, temasya itu akan berlangsung seperti yang dirancang," kata Tayyab di Piala Dunia Bhubaneswar-Rourkela.

Untuk rekod, juara hoki Sukan Asia akan layak secara automatik ke Sukan Olimpik Paris manakala selebihnya mempunyai peluang kedua menerusi kelayakan yang akan diadakan pada Januari 2024.

Kali terakhir Malaysia bermain di temasya Olimpik pada edisi Sydney 2000, dan mereka perlu menewaskan beberapa lawan hebat seperti India, Korea Selatan, Jepun dan China untuk menjadi juara sekali gus kembali ke pentas berprestij itu sekali lagi selepas 24 tahun.

Pada Sukan Asia yang lalu, Malaysia kehilangan peluang keemasan untuk menewaskan Jepun apabila perlawanan berakhir dengan penentuan penalti.

Disiarkan pada: January 29, 2023 @ 7:10pm
d