Hoki

TNB sasar trofi berganda

Oleh Zulkarnain Azman

Kuala Lumpur: Pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mahu mengulangi pencapaian 20 tahun lalu apabila menyasarkan kejuaraan berganda untuk Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) yang akan membuka tirainya 9 Februari ini.

Bagi pengendali pasukan, Nor Saiful Zaini berkata, bagi memastikan misi tersebut dapat dilaksanakan, beliau akan memberi tumpuan terlebih dahulu untuk merebut Piala Sumbangsih menentang Terengganu Hockey Team di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil Khamis ini.

"Kita tidak boleh nak menunggu ke hadapan. Jadi pada perlawanan Khamis ini adalah yang pertama untuk kita cuba.

"Kita akan cuba memberikan tentangan sengit kepada Terengganu untuk merebut kejuaraan musim ini,"katanya pada majlis pengenalan pemain hoki TNB dan TNB Thunderbolts di sini, hari ini.

Pada musim lalu, TNB hanya berjaya meraih satu kejuraan iaitu Piala TNB selepas menewaskan THT 3-2 pada aksi akhir.

Untuk rekod, TNB tidak pernah gagal menyertai TNB MHL sejak diperkenalkan pada 1987 dan dua kali meraih kemenangan berganda pada musim 1991-1992 dan 2003.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas berkenaan ketiadaan tiga tonggak utama iaitu Shahril Saabah serta Syafiq Sumantri yang masih belum cergas sekembalinya dari tugasan di Kejohanan Piala Dunia di Bhubaneswar bulan lalu, serta Nik Aiman Rozemi yang mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL), Nor Saiful mengakui dia terpaksa melakukan sedikit rombakan dalam pasukannya.

Disiarkan pada: February 7, 2023 @ 8:37pm
d