Hoki

THT mudah ratah ATM

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Pasukan Hoki Terengganu (THT) tidak berdepan masalah untuk mengutip tiga mata selepas mudah menumpaskan ATM 5-1 pada aksi keenam Liga Hoki Malaysia (MHL) di Stadium Hoki Batu Buruk (SHBB), sebentar tadi.

Kemenangan kelima itu membolehkan skuad kendalian jurulatih kelahiran Korea Selatan, Seo Jongho menghuni di tangga teratas liga selepas mengumpul 16 mata mengatasi pendahulu sebelum ini, Maybank yang bakal beraksi pada malam ini menentang Nurinsafi Sporting.

Pesta gol skuad The Turtles bermula pada minit ke-5 menerusi pukulan sudut penalti pemain import dari Korea Selatan, Jan Jonghyun yang gagal ditolak keluar penjaga gol, Mohd Khairul Afendy Kamarulzaman.

THT yang melakukan sedikit rombakan dengan menyenaraikan penjaga gol kedua, Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sobri bagi menggantikan Muhammad Hafizuddin Othman yang direhatkan memperoleh jaringan kedua menerusi gol padang Muhammad Shahrin Izuddin Shamsuri pada minit ke-11 untuk pasukannya mendahului 2-0.

Pada minit ke- 28, penyerang skuad Piala Dunia kebangsaan 2023, Shello Silverius menambah derita pelawat selepas meledak jaringan ketiga pasukannya menerusi gol padang hasil umpanan daripada Faizal Saari untuk mengukuhkan kedudukan 3-0.

Ketinggalan tiga gol, skuad pelawat kendalian Mohd Yazid Yahya mendapat pukulan sudut penalti pertamanya pada minit ke-37, peluang itu tidak dilepaskan Mohamad Amirul Hanis Abdul Aziz apabila berjaya merapatkan kedudukan 3-1.

THT yang mendominasi perlawanan berpeluang menambah jaringan selepas dihadiahkan pukulan penalti pada penghujung suku ketiga, bagaimanapun tolakan yang dilakukan pakar pukulan sudut penalti dari Korea Selatan, Jonghyun terkena palang sekali lagi terselamat pintu gol pelawat.

Pada minit ke-55, Shello sekali lagi bertindak cemerlang apabila mudah menyambung hantaran Muhammad Arif Syafie Ishak untuk pasukannya mendahului 4-1.

Ketika perlawanan berbaki dua minit untuk ditamatkan, kapten, Mohd Fitri Saari menambah duka pelawat apabila pukulan kilasnya menerjah jaring gol untuk jaringan kelima pasukannya dengan keputusan muktamad 5-1 memihak kepada skuad Pantai Timur itu.

Perlawanan seterusnya THT bakal menentang Young Tigers di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Khamis ini.

Disiarkan pada: February 21, 2023 @ 8:14pm
d