Hoki

Negeri Sembilan rampas takhta

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Skuad hoki wanita Negeri Sembilan membuktikan keunggulan apabila membenam Young Tigress, 4-3, pada Kejohanan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2023, di Stadium Hoki Seremban 2, lewat petang tadi.

Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan K Rajan merampas kedudukan selaku peneraju takhta liga dengan mengumpul 10 mata, hasil tiga kemenangan dan satu seri.

Peminat sudah menjangkakan pertembungan kedua-dua pasukan menyaksikan saingan sengit dengan masing-masing berbalas serangan antara satu sama lain.

Young Tigress terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi J Thibatharsini pada minit kedua perlawanan sebelum disamakan Fatin Shafiqah Mohd Syuki, dua minit kemudian.

Negeri Sembilan terus melebarkan penguasaan menerusi gol kedua pada minit ke-17 menerusi kapten pasukan, Nuraini Abdul Rashid.

Bagaimanapun, pasukan pelawat berjaya menyamakan kedudukan tiga minit kemudian menerusi Dian Nursyakkira Najwa Al-Wadqa Nazeri, manakala tuan rumah kembali di depan hasil jaringan pemain berpengalaman, Hanis Nadiah Onn, pada minit ke-27.

Azmyra Mia Sofea Azhairy kemudian menjaringkan gol ketiga Young Tigress pada ke-49 sebelum Negeri Sembilan menjaringkan gol kemenangan menerusi Fatin Syafiqah Mohd Shukri, pada minit ke-50.

Rajan berpuas hati dengan kemenangan dicapai skuad bimbingannya itu yang disifatkannya sebagai luar jangkaan kerana mengenali reputasi Young Tigress, yang menampil persembahan agresif.

"Saya puas hati dengan aksi pemain hari ini kerana mereka berjaya mempamerkan prestasi sebenarnya dalam perlawanan. Saya harap momentum ini dapat diteruskan pada perlawanan seterusnya menentang THT, Jumaat nanti," katanya selepas perlawanan.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Hoki Negeri Sembilan (PHNS), Tamil Selvan mengucapkan syabas kepada pemain atas kemenangan dicapai.

Disiarkan pada: February 22, 2023 @ 10:16pm
d