Hoki

THT terus ungguli tangga teratas carta MHL

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Juara berganda musim lepas Pasukan Hoki Terengganu (THT) terus mengungguli tangga teratas Liga Hoki Malaysia (MHL) apabila menewaskan Maybank 3-2 pada aksi MHL hari ini.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu petang tadi menyaksikan kedua-dua pasukan di tangga teratas itu bermula garang memburu jaringan, namun THT terlebih dahulu memecah kebuntuan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-23 oleh pemain import dari Korea Selatan Jang Jonghyun.

Maybank bagaimanapun kembali mengimbangi permainan dengan mengikat kedudukan 1-1 menerusi gol pukulan sudut penalti Adam Aiman Mamat pada minit ke-25 sebelum rakan sepasukan Muhajir Abdu Rauf meledak pukulan sudut penalti kedua seminit kemudian.

Skuad kendalian jurulatih kelahiran Korea Selatan, Seo Jongho tidak putus asa melancarkan serangan untuk menyamakan kedudukan apabila Jonghyun sekali lagi menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-40.

THT kemudian berjaya memperoleh gol kemenangan hasil jaringan padang pemain kebangsaan Mohd Fitri Saari pada minit ke-52 dan keputusan kekal 3-2 sehingga wisel penamat.

Dengan kemenangan itu, THT berjaya mengumpul 31 mata dan kekal mendahului kedudukan teratas carta MHL manakala Maybank kekal di kedudukan ketiga dengan 23 mata.

Dalam pada itu, Jongho mengakui Maybank merupakan antara pasukan yang kuat untuk diatasi namun menganggap ia sebagai cabaran positif pada musim kali ini.

"Matlamat kami ialah untuk memenangi perlawanan ini, jadi kami menganggapnya sebagai cabaran, kami bekerja sebagai satu pasukan dengan mentaliti inginkan kemenangan.

Untuk perlawanan seterusnya di Terengganu, saya tahu orang Terengganu akan menyokong kami dan saya tidak mahu mengecewakan mereka, jadi saya sasarkan kemenangan dalam aksi seterusnya," katanya kepada pemberita selepas perlawanan di sini hari ini.

Disiarkan pada: March 4, 2023 @ 9:54pm
d