Hoki

THT, TNB tentukan siapa juara LHM

Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Pasukan Hoki Terengganu (THT) merampas kembali kedudukan teratas Liga Hoki Malaysia (LHM) daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas membelasah pasukan di tangga tercorot, Nurinsafi Sporting 6-2 pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Batu Buruk (SHBB), hari ini.

Dengan kemenangan itu, juara berganda musim lalu itu mengumpul 37 mata hasil 13 perlawanan manakala Nurinsafi Sporting kekal di kedudukan terbawah dengan mengutip tiga mata.

Terdahulu pada aksi sebelah pagi, TNB menumpaskan pasukan pembangunan, TNB Thunderbolts 14-1.

Pesta jaringan THT bermula pada minit kedua menerusi pemain import Korea Selatan, Jan Jonghyun hasil pukulan sudut penalti sebelum pemain itu menambah jaringan kedua selang dua minit juga melalui pukulan sudut penalti.

Kapten kebangsaan, Marhan Jalil meledak jaringan ketiga pasukannya pada minit keenam menerusi jaringan padang sebelum Jonghyun meledak hatrik pada minit ke-13 untuk menutup aksi pada suku pertama dengan kelebihan 4-0.

Memasuki suku kedua, Jonghyun yang dilabel pakar pukulan sudut penalti berjaya menambah jaringan kelima pasukannya yang juga gol keempat peribadinya menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-19.

Ketinggalan 5-0 tidak mematahkan semangat pemain skuad pelawat mengasak kubu tuan rumah, hasilnya menerusi serangan pantas, Joshua Benedict berjaya menjaringkan gol pertama pasukannya pada minit ke-28.

Tersentak jaringan pelawat itu, skuad kendalian Seo Jongho menggandakan asakan sebelum penyerang kebangsaan, Faizal Saari mencetak namanya sebagai penjaring keenam melalui gol padang pada minit ke-31 untuk mengukuhkan kedudukan 6-1.

Pelawat yang sesekali mengasak kubu tuan rumah akhirnya berjaya menambah jaringan kedua pada minit ke-56 menerusi jaringan padang Haikal Nilesh untuk keputusan kekal 6-2 memihak kepada THT.

Sabtu ini, THT bakal membuat perhitungan dengan TNB untuk penentuan juara di SHBB sebelum saingan Piala TNB membuka tirainya selepas itu.

Disiarkan pada: March 9, 2023 @ 7:37pm
d