Hoki

PHNS teliti ganjaran buat skuad hoki wanita

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Kerajaan Negeri Sembilan sedang meneliti ganjaran yang sesuai bakal diberikan kepada pasukan hoki wanita negeri itu atas kejayaan mereka menyapu bersih tiga trofi kejuaraan musim ini.

Menteri Besar merangkap Presiden Persatuan Hoki Negeri Sembilan (PHNS), Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya akan berbincang dengan jawatankuasa berkenaan bagi memutuskan bentuk ganjaran kepada pasukan berkenaan.

Katanya, perkara itu sememangnya ada dalam perancangan PHNS sebelum liga musim ini bermula.

"Menang akan menerima ganjaran yang setimpal, memang itu ada dalam perancangan kita.

"Saya akan bincangkan perkara ini (bentuk ganjaran) itu dengan ahli jawatankuasa," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO dan melancarkan Logo Baru Majlis Daerah Rembau, di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Terdahulu, skuad hoki wanita Negeri Sembilan mencipta sejarah tersendiri apabila muncul juara treble selepas memenangi Piala Sumbangsih, Piala Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) dan Piala Vivian May Soars.

Aminuddin akui bangga dengan kejayaan pasukan terbabit kerana berjaya mengharumkan nama Negeri Sembilan dalam arena hoki tempatan.

"Selepas lebih 30 tahun nama Negeri Sembilan tenggelam dalam sukan hoki tempatan, kini mampu berbangga dengan kejayaan pasukan wanita. Tahniah dan syabas," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa PHNS akan menganjurkan Kejohanan Hoki Terbuka Negeri Sembilan 2023 yang akan berlangsung di padang rumput, padang Majlis Bandaraya Seremban, pada Jun depan.

"Kejohanan ini akan membabitkan kategori 12, 16 tahun dan terbuka dan saya yakin program ini akan mendapat sambutan yang baik dalam usaha kita untuk memajukan lagi sukan hoki terutama dalam melahirkan pemain muda berbakat," katanya.

Disiarkan pada: March 22, 2023 @ 6:47pm
d