Hoki

Pakistan bangkit kecewakan Belgium

Oleh Amirul Fazli Zulkafli

Kuala Lumpur: Arbaz Ahmad sekali lagi muncul wira apabila jaringan penyamaannya sudah cukup untuk memastikan Pakistan menempah slot ke suku akhir Piala Dunia Remaja.

Perlawanan terakhir peringkat kumpulan D yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sebentar tadi menyaksikan Pakistan dan Belgium turun dengan misi wajib menang untuk layak dan ia menyaksikan perlawanan berlangsung dalam intensiti tinggi namum perlawanan berkesudahan seri 1-1.

Keputusan seri itu sudah cukup untuk membantu Pakistan mengiringi Belanda selaku juara kumpulan ke pusingan seterusnya pada Selasa nanti.

Bagaimanapun, skuad kendalian Jeroen Baart mengejutkan Pakistan seawal minit ketiga melalui jaringan pukulan sudut penalti Jack Vloeberghs.

Anak didik Roelant Oltmans terus meningkatkan permainan pantas mereka dengan melakukan beberapa gerakan untuk mendapatkan jaringan penyamaan namum Belgium begitu disiplin ketika bertahan sehingga memberi kesukaran kepada lawan mereka.

Bermula babak kedua, anak buah Roelant terus mempercepatkan permainan dan usaha mereka membuahkan hasil apabila kali ini Arbaz tidak mempersiakan peluang untuk menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-42.

Untuk rekod, Arbaz turut menjadi wira ketika Pakistan apabila jaringan lewat dari dia mengikat Belanda 3-3 dalam aksi pertama peringkat Kumpulan D.

Disaaat Belgium memerlukan jaringan, mereka mendapat pukulan sudut penalti namun sedikit tersasar dari pintu gol Pakistan. Keadaan semakin terdesak dan Jeroen terpaksa menggunakan taktikal 'power play' untuk menambah kekuatan di bahagian hadapan.

Belgium cuba menggunakan talian hayat terakhir untuk mendapatkan pukulan sudut penalti tetapi ia tidak memihak kepada mereka dan menyaksikan anak buah Jeroen terpaksa akur menamatkan saingan di tangga ketiga sekali gus gagal ke suku akhir seperti edisi Piala Dunia Remaja di India pada 2021 yang lalu.

Disiarkan pada: December 9, 2023 @ 10:11pm
d