Hoki

Empat calon jurulatih skuad hoki disenarai pendek

Oleh Amirul Fazli Zulkafli

Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) hari ini mengesahkan empat calon disenarai pendek bagi menjawat ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan MHC, Datuk Majid Manjit Abdullah berkata, seramai 23 calon menghantar permohonan dan di dalam mesyuarat serta selepas meneliti kriteria calon hari ini, pihaknya memilih mereka untuk hadir ke sesi temuduga yang dijangka berlangsung minggu ini dan keputusan ketahui pada hujung bulan ini.

Tambahnya, jurulatih terpilih akan diberikan kontrak selama empat tahun untuk mengendali pasukan utama lelaki negara.

"Daripada luar negara 18 orang, jurulatih tempatan lima, keseluruhan 23 jurulatih memohon dan kami menyenaraikan empat calon. Dua calon jurulatih tempatan dan dua calon jurulatih luar negara.

"Kami akan adakan sesi temuduga dan memilih satu jurulatih dan akan syorkan kepada pihak MHC untuk membuat keputusan akhir. Brendan dan Turner akan ditemuduga secara zoom (dalam talian menggunakan applikasi Zoom) dan berkenaan gaji kita akan bincang kemudian. Mereka yang terpilih akan diberikan kontrak empat tahun dengan pilihan dua tahun tambah dua tahun ,"katanya.

Empat calon berkenaan adalah bekas pengendali skuad hoki negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah, Sarjit Singh dan dua calon jurulatih luar negara terdiri daripada Brendan Caralon dari Afrika Selatan dan Glenn Turner dari Australia.

Bekas jurulatih skuad Speedy Tigers sebelum ini, A Arul Selvaraj yang dikatakan turut memohon jawatan sama tidak terpilih untuk ke sesi temuduga sebalik pembantunya, Brendan dan Turner yang terpilih ke sesi pemilihan terakhir itu.

Terdahulu Arena Metro melaporkan Presiden MHC Datuk Seri Subahan Kamal pada satu sidang media Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sebelum ini memaklumkan pembubaran skuad senior dan remaja lelaki kebangsaan. Pengumuman itu menyaksikan kesemua kontrak jurulatih akan dipertimbangkan semula selepas ia tamat.

Disiarkan pada: February 20, 2024 @ 4:41pm
d