Hoki

TNB tamatkan penantian 21 tahun

Oleh Amirul Fazli Zulkafli

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa menunggu selama 21 tahun untuk kembali muncul juara Liga Hoki Malaysia 2024 (MHL) selepas mengungguli 10 perlawanan tanpa kalah untuk berada di menamatkan saingan liga di kedudukan teratas.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini, TNB wajib menang dalam perlawanan terakhir dan ternyata mereka berada di kelas tersendiri apabila turun tanpa ada belas kasihan untuk berpesta jaringan ke atas JM Antsbeles 22-1.

Dalam masa sebulan skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nassiruddin berjaya muncul juara berganda selepas turut cemerlang mengalahkan Terengganu Hockey Team (THT) penentuan penalti 3-1 dalam Piala Sumbangsih awal bulan lalu.

Menurut Nor Saiful, pasukannya turun untuk bermain bersungguh-sungguh dan tidak memikirkan berapa jaringan harus diperoleh kerana mereka ingin memastikan dapat mengekalkan prestasi cemerlang itu ke Piala TNB pula selepas ini.

"Kita main hari ini untuk melihat perlawanan seterusnya dan kita nak pastikan dapat mengekalkan momentum ini ke perlawanan suku, separuh dan akhir (Piala TNB). Itu yang kita nak capai. Yang mana kita sudah capai kita tak mahu tengok lagi. Kita terus memandang perlawanan penting selepas ini.

"Kita sasar apa yang kita nak bukan nak gol banyak, hantaran cepat, berlari ke posisi yang betul dan kita nak mereka bermain seperti pemain kebangsaan kerana mereka dari situ," katanya selepas perlawanan terakhir MHL hari ini.

Untuk rekod, TNB pernah muncul juara hatrik untuk bermula 2000 sehingga 2003 sebelum mereka menyepi tanpa piala selepas itu bertahun lamanya.

Sementara itu, tempat kedua menjadi milik THT sementara Maybank di tempat ketiga selepas kedua-dua pasukan itu bertemu di perlawanan terakhir dan berkesudahan dengan keputusan 4-3.

Disiarkan pada: February 27, 2024 @ 8:39pm
d