Hoki

NS harap tidak terlepas semua trofi

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Pasukan hoki wanita Negeri Sembilan (NS) terlepas mempertahankan dua trofi dalam kejuaraan Liga Hoki Malaysia TNB-MHL 2024, kini hanya berpeluang mempertahankan satu lagi piala dipertandingkan iaitu Piala Vivian May Soars.

Skuad bimbingan K Rajan itu bakal membuat perhitungan dengan juara liga musim ini, pasukan Malaysian University (MU) pada peringkat separuh akhir, yang akan berlangsung pada 5 dan 7 Mac ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Hoki Negeri Sembilan (PHNS), Tamil Selvan menjelaskan bahawa hasrat NS untuk mempertahankan trofi terakhir kejuaraan musim ini masih belum tertutup.

Beliau bagaimanapun sedar pasukan itu bakal berhadapan dengan tugas yang amat getir apabila ditakdirkan akan bertemu MU pada peringkat separuh akhir.

"Kita sedar MU adalah pasukan terkuat musim ini dengan dibarisi sembilan pemain kebangsaan berbanding kita hanya ada tiga pemain kebangsaan, namun, kita akan membuat persiapan lebih rapi dalam menghadapi kedua-dua perlawanan secara timbal balik itu.

"Oleh itu kita perlu tingkatkan lagi prestasi pasukan kerana pertembungan kali ini lebih getir, tapi saya yakin dan percaya dengan semangat serta kekuatan yang ada dalam pasukan, peluang untuk kita memenangi perlawanan itu nanti tetap cerah."Apapun, NS akan bertindak sebagai 'underdoq' kerana tidak mahu memberi tekanan kepada pemain, walaupun rekod pertembungan dengan MU pada peringkat awal liga sebelum ini adalah seimbang dengan keputusan seri 2-2," katanya hari ini.NS yang memenangi kejuaraan treble musim lalu, layak ke peringkat separuh akhir selepas membenam KL City, 3-0, dalam aksi terakhir liga, di stadium hoki Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur, petang semalam.Pasukan itu akan bertandang ke tempat lawan di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 5 Mac sebelum aksi timbal balik di laman sendiri di Stadium Hoki Seremban 2, 7 Mac ini.

Disiarkan pada: March 1, 2024 @ 6:13pm
d