Hoki

Negeri Sembilan tak rela berputih mata

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Pemain hoki wanita Negeri Sembilan dituntut menampilkan aksi lebih bertenaga apabila menentang Malaysian University (MU) di separuh akhir pertama Liga Hoki Malaysia TNB-MHL 2024, bagi merebut Piala Vivian May Soars di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, petang esok.

Ketua jurulatih pasukan itu, K Rajan berkata, pemain perlu memberikan sepenuh perhatian bagi menamatkan saingan dengan kelebihan dalam usaha mempertahankan trofi itu.

"Pemain perlu tampil dengan persembahan dan semangat juang lebih tinggi kerana perlawanan itu adalah penentu dalam usaha kami untuk mempertahankan trofi utama liga musim ini.

"Justeru, kami perlu berusaha mendapatkan kelebihan bagi dibawa ke Seremban pada aksi timbal balik, sekali gus akan memudahkan pasukan untuk mendapat laluan ke final.

"Saya berharap pemain dapat menunjukkan keupayaan sebenar dan berupaya menterjemahkan segala perancangan bagi mendapatkan kemenangan," katanya.

Menurut Rajan, selepas sembilan perlawanan liga musim ini termasuk seri 2-2 dengan MU, pemain seharusnya sudah memiliki pengalaman serta keyakinan untuk berdepan pasukan terbabit.

Katanya, walaupun ada jurang kerana MU mempunyai lapan pemain kebangsaan, ia tidak harus menggugatkan semangat serta keyakinan pemain Negeri Sembilan.

Disiarkan pada: March 4, 2024 @ 7:37pm
d