Hoki

Jong Hyun sedia pertimbang untuk kembali musim depan

Oleh Amirul Fazli Zulkafli

Kuala Lumpur: Pakar pukulan sudut penalti dari pasukan hoki Tenaga Nasional Berhad (TNB) Jang Jong Hyun masih berteka-teki sama ada akan terus bersama pasukan itu atau akan berhijrah ke pasukan baharu.

Pemain kelahiran Korea Selatan itu berkata, dirinya masih belum pasti sama ada akan meneruskan perjuangan di Liga Hoki Malaysia (MHL) tahun depan atau tidak namun sekiranya khidmatnya diperlukan, dia bersedia untuk kembali menabur bakti.

"Masih belum tahu lagi dan semuanya bergantung pada tawaran. Sekiranya TNB panggil, saya akan datang dan kalau ada tawaran dari pasukan lain, saya juga akan pertimbangkan," katanya.

Jelas Jong Hyun, dirinya sangat gembira kerana berjaya membantu TNB memenangi kejuaraan treble musim ini dan itu sememangnya keinginannya selama ini.

"Sangat gembira tetapi dalam masa sama, sedih kerana ini kali pertama TNB menang treble. Bagi saya, bukan mudah untuk dapatkan gelaran treble ini. Satu bebanan buat saya tetapi pada akhirnya saya lega kerana berjaya melaksanakan apa yang dijanjikan kepada pasukan.

"Saya rasa bersalah kepada THT (Pasukan Hoki Terengganu) tetapi ini tanggungjawab dengan TNB dan saya perlu melakukan yang terbaik. Apapun, adat pertandingan ada menang ada kalah," katanya.

Sementara itu, pengendali TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin mengakui kehadiran pemain Korea Selatan itu di dalam pasukannya ternyata memberi kekuatan tambahan selain kebaikan kepada pemain muda.

"Secara keseluruhannya, dia banyak membantu TNB dan ramai pemain kita dapat belajar daripadanya. Masih awal untuk kata dia kembali ataupun tidak kerana umurnya juga sudah menghampiri 40 tahun.

"Sekiranya dia ingin kembali dan tahap kecergasannya OK, mungkin boleh dipertimbangkan,"katanya.

Disiarkan pada: March 11, 2024 @ 1:41pm
d