Sukan Lain

Semangat Haiqal tidak luntur

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Semangat jaguh pecut Asia Tenggara, Haiqal Hanafi tidak pernah luntur meskipun menyedari status penganjuran kejohanan olahraga dalaman dan Terbuka Malaysia masih samar susulan penularan kes Covid-19 di negara ini.

Malah, atlet berusia 21 tahun itu mengakui latihan yang dijalaninya juga tidak terjejas meskipun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Lembah Klang, menyebabkan dia dan atlet olahraga negara terpaksa menjalani latihan secara kuarantin di Bukit Jalil.

Haiqal berkata fokus kini hanya diberikan kepada modul latihan yang dirancang Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Dwayne Miller dalam usahanya untuk memperbaiki catatan masa ketika sesi latihan.

"Andai kata tiada kejohanan dianjurkan tahun ini, bagi saya tiada masalah, saya cuma fokus dalam latihan, tapi dalam latihan saya boleh anggap macam pertandingan untuk mengatasi catatan masa yang jurulatih berikan," katanya kepada Sukan Plus, Bernama TV.

Kejohanan olahraga dalaman dijadual berlangsung pada 7 November manakala Terbuka Malaysia bermula 11 hingga 13 Disember.

Dalam pada itu, dia menjelaskan bahawa selepas hampir dua bulan berlatih di bawah kendalian Miller yang berasal dari Amerika Syarikat itu, tumpuannya lebih terarah untuk meningkatkan intensiti ketahanan fizikal dan teknik larian.

Pada Sukan SEA Filipina tahun lepas, Haiqal melakar kejutan apabila meraih gelaran Raja Pecut Asia Tenggara selepas mengungguli acara 100 meter dengan catatan masa 10.35 saat.

Disiarkan pada: October 25, 2020 @ 7:24pm
d