Sukan Lain

TSC terpaksa ubah perancangan

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Ketika keadaan masih tidak menentu, pasukan basikal benua negara, Team Sapura Cycling (TSC) terpaksa mengalih tumpuan berhubung perancangan mereka tahun depan.

Pengurus pasukan, Sayuti Zahit berkata, Covid-19 memberi impak yang cukup besar buat sukan negara khasnya dengan banyak perancangan terpaksa ditukar dan terpaksa mencari alternatif baru.

Justeru mungkin TSC terpaksa menukar sedikit perancangan mereka dengan menyertai lebih banyak perlumbaan di Turki sekiranya banyak perlumbaan di Asia di batalkan.

"Ketika ini, kami menjangkakan kurangnya perlumbaan di Asia kerana keadaan Covid-19 yang tidak menampakkan penurunan.

"Perlumbaan di China pun dimaklumkan akan dihadkan kepada penyertaan pelumba tempatan saja.

"Penganjuran LTdL (Le Tour de Langkawi) juga sukar untuk dipastikan kerana ia dianjurkan pada bulan Februari jadi sebarang kemungkinan mungkin boleh berlaku," katanya.

Antara perlumbaan yang berada dalam radar TSC adalah Presidential Tour of Turkey, sebuah perlumbaan berstatus UCI ProSeries, yang kini dijadualkan diadakan pada April tahun depan.

Sebelum ini Sapura pernah menyertai Tour of Antalya, siri jelajah berstatus 2.1, serta Grand Prix Velo Alanya dan Grand Prix Manavgat di Turki awal tahun ini sebelum Covid-19 mula menular.

Malah pakar pecut mereka Ahmet Orken, yang menyertai pasukan itu tahun ini, juga berasal dari Turki.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 28, 2020 @ 9:22pm
    d