Sukan Lain

Tetap konsisten tanpa kejohanan

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Jurulatih lompatan negara, Ahmad Firdaus Salim berpuas hati dengan prestasi atlet di bawah bimbingannya biarpun tiada sebarang pertandingan untuk menilai tahap kemampuan atlet ketika ini.

Katanya, menerusi sesi ujian yang dilakukan mengikut fasa yang dilakukan oleh beliau menyaksikan tujuh atlet yang di bawah bimbingannya menunjukkan peningkatan memberangsangkan iaitu keputusan tahap kekuatan masing-masing lebih baik berbanding Sukan SEA tahun lalu.

Justeru beliau tidak bimbang akan prestasi atlet semasa kerana daripada segi graf pencapaian menunjukkan peningkatan.

"Keupayaan kekuatan setiap daripada mereka lebih baik dari Sukan SEA. Untuk atlet lompatan seperti lompat kijang dan jauh ini mereka memerlukan kekuatan jadi bila kekuatan itu meningkat maka kemampuan mereka juga boleh meningkat.

"Bila setiap atlet menunjukkan peningkatan bermakna program yang diaturkan kepada mereka berjaya. Namun untuk menilai keputusan daripada pertandingan ketika ini tak boleh sebab tiada pertandingan," katanya.

Ketika ini seramai tujuh atlet membabitkan empat atlet senior terdiri daripada Hakimi Ismail, Luqman Hakim Ramlan, Andre Anura Anuar dan R Kirthana dan tiga atlet pelapis, Nur Ashikin Abas, Mahira Hanis Ishak dan Nazri Mustafa berada di bawah bimbingan Firdaus.

Daripada senarai itu, Hakimi dan Andre paling mencuri tumpuan dan berpeluang cerah untuk ke cuba melayakkan diri ke temasya Olimpik Tokyo tahun depan.

Kedua-dua mereka adalah pemegang rekod kebangsaan yang mana Hakimi menguasai acara lompat kijang (16.77m) dan Andre, lompat jauh (8.02 meter).

Untuk layak ke Olimpik Hakimi perlu melepasi jarak 17.14m manakala Andre perlu melakukan 8.22m.

Bagaimanapun sekiranya gagal melepasi syarat kelayakan itu mereka masih berpeluang untuk layak ke Olimpik berdasarkan sistem ranking dan wild card dari Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Disiarkan pada: October 28, 2020 @ 11:59pm
d