Sukan Lain

Khabib hargai jasa 'sifu' AKA

Oleh Agensi

London: Bintang seni bela diri campuran (MMA) , Khabib Nurmagomedov menzahirkan sepenuh penghargaan kepada jurulatihnya di Akademi Kickboxing Amerika selepas persaraannya.

Juara lightweight yang tidak pernah tewas melebarkan rekod kemenangan MMA kepada 29-0 menerusi 'submission' pada pusingan kedua di UFC 254, Ahad lalu.

Kemenangan menjadi lebih bermakna apabila jaguh Rusia itu mendedahkan dia mengalami kecederaan ibu jari dan kaki yang agak teruk sebelum pertarungan dengan Justin Gaethje.

Selepas perlawanan, dia menunaikan janji kepada ibunya bahawa ia pertarungan terakhir susulan kematian bapanya yang juga jurulatih, Abdulmanap pada awal musim panas lalu.

Semalam dia menghamburkan pujian di media sosial kepada jurulatihnya di AKA, Javier Mendez: ''Hubungan kita kekal selamanya dalam hati ini, 'coach'. Anda selalu menjadi inspirasi yang hebat kepada saya sejak saya datang ke AKA. Sayangi kamu 'coach'...

Sebelum itu, Mendez memuji Khabib pada awal minggu ini.

Katanya: ''Anda datang dalam hidup saya pada 2012, sekarang anda selamanya dalam diri ini. Hubungan antara jurulatih dan pejuang, hanya jurulatih dan pejuang sahaja memahaminya. Tetapi sayang, hormat dan kesetiaan sebenar, seluruh dunia memahaminya dan [Khabib Nurmagomedov] anda ada semuanya malah lebih lagi...''

Khabib yang menerima habuan £4.6 juta turut menyaksikan peningkatan mendadak dari segi jumlah peminat selepas dia menggunakan teknik 'lebih berperikemanusiaan' ketika menewaskan Gaethje di hadapan ibunya.

Disiarkan pada: October 29, 2020 @ 9:54am
d