Sukan Lain

Tuah milik Ackermann, Carapaz kekal pendahulu

Oleh AFP

Madrid: Pelumba Jerman, Pascal Ackermann diisytihar juara peringkat ke-9 Vuelta a Espana semalam selepas kemenangan Sam Bennett tidak disahkan susulan mengasak pelumba lain menggunakan bahu menuju ke garisan penamat.

Bennett menyangka dia memenangi saingan peringkat keduanya di Sepanyol tetapi ulang tayang mengesahkan insiden itu sekaligus Ackermann dinobatkan juara dengan pelumba Ecuador, Richard Carapaz mengekalkan kedudukan pendahulu keseluruhan.

Carapaz dari Ineos masih 13 saat di hadapan pelumba Slovenia, Primoz Roglic manakala pelumba Ireland, Dan Martin 28 saat belakang di tempat ketiga.

Selepas menamatkan perlumbaan, Bennett mengakui ia saingan sengit.

"Ada beberapa pelumba nyaris menghimpit kami ke penghadang jalan tetapi kami kekal bertahan,'' kata Bennett.

Tetapi ulang tayang menunjukkan apa yang dianggap penganjur sebagai pecutan tidak sah selepas Bennett dua kali menggunakan bahu mengasak Emils Liepins yang cuba melepasi beberapa pelumba Deceuninck-QuickStep.

Ackermann pula percaya ia keputusan tepat.

"Ia tindakan tidak adil daripadanya," kata Ackermann. "Saya rasa selepas kemalangan minggu lalu, kami perlu waspada pelumba lain.

"Jika tiada ruang, kami perlu berhenti. Saya simpati dengan Sam tetapi mereka membatalkan saya di Scheldeprijs dan sekarang kami perlu berlumba dengan lebih adil.

"Saya gembira dengan kemenangan ini dan juga buat pasukan. Mereka menjalankan tugas dengan baik hari ini dan saya gembira dapat memberi sesuatu untuk mereka."

Gerben Thijssen dari pasukan Lotto Soudal ketiga untuk podium kedua berturut-turutnya.

Saingan peringkat ke-10 berlangsung hari ini membabitkan jarak 185km antara Castro Urdiales ke Suances.

Disiarkan pada: October 30, 2020 @ 1:47pm
d