Sukan Lain

Kecederaan hantui 8 atlet olahraga

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Walaupun tidak menyertai sebarang pertandingan lebih enam bulan, seramai lapan atlet olahraga dihantui kecederaan sekali gus terlepas ujian latihan dan Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Bukit Jalil bulan depan.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk SM Muthu berkata, lapan atlet berkenaan mengalami kecederaan sewaktu sesi latihan selain ada antara mereka terbabit dalam kemalangan baru-baru ini.

Beliau berkata, antara yang mengalami kecederaan adalah jaguh lompat tinggi negara Lee Hup Wei, pelari pecut negara Khairul Hafiz Jantan, pelari 400 meter, Muhammad Ilham dan pelari 1,500 meter, Savinder Kaur.

"Turut cedera adalah pelari pecut muda negara, Muhammad Zulfiqar Ismail dan Muhammad Aqil Yasmin serta atlet lompat bergalah negara, Iskandar Alwi.

"Seorang lagi atlet olahraga, Muhammad Ilham Suhaimi pula terbabit dalam kemalangan dua minggu lalu dan cedera di bahagian kaki sekali gus memerlukan rehat yang panjang," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Selain itu, menurutnya, atlet berkenaan mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu hingga empat bulan untuk pulih sekali gus mungkin terlepas banyak aksi kompetitif.

Muthu semalam memaklumkan Kejohanan Tertutup yang sepatutnya berlangsung pada Sabtu ini di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, di sini, ditukarkan kepada ujian latihan dengan penyertaan atlet lebih terhad berikutan kes membabitkan pandemik Covid-19 semakin meningkat.

Disiarkan pada: November 4, 2020 @ 9:05pm
d