Sukan Lain

Nadal terus 'bernafsu'

Oleh AFP

Paris: Rafael Nadal mengatasi wakil Australia, Jordan Thompson untuk melangkah ke suku akhir Paris Masters.

Nadal selaku pilihan utama melakar kemenangan 6-1, 7-6 (7/3) ke atas Thomson untuk bertemu rakan senegara dari Sepanyol, Pablo Carreno Busta yang perlu memenangi kejohanan itu minggu ini bagi mencerahkan peluang merampas tiket Jelajah Final daripada Diego Schwartzman.

Thompson yang menduduki ranking ke-61 dunia, terlepas mata terakhir untuk mengheret perlawanan ke set penentuan pada pertemuan pertamanya dengan juara Grand Slam 20 kali itu.

"Dia bermula dengan baik. Saya gagal membalas pukulannya beberapa kali," kata Nadal.

"Perlawanan ini sangat sengit. Saya bergelut sehingga hujung perlawanan tetapi saya berjaya menemui rentak ketika di tie-break," katanya lagi.

Nadal yang meraih kemenangan ke-1,000 dengan menewaskan Feliciano Lopez Rabu lalu sedang berusaha untuk memenangi kejohanan di Paris yang bakal menyaksikannya menyamai rekod Novak Djokovic meraih 36 kejuaraan di saingan Masters.

Pemain berusia 34 tahun itu terpaksa bangkit daripada ketinggalan untuk mengatasi Lopez selepas meraih kemenangan di set pertama dalam tempoh hanya 30 minit.

Thompson memberi saingan sengit di set kedua namun terlepas untuk meraih mata kemenangan selepas pada satu ketika di depan 6-5.

Bintang veteran Switzerland, Stan Wawrinka turut mara ke suku akhir selepas bangkit menewaskan Andrey Rublev dari Russia 1-6, 6-4, 6-3.

Disiarkan pada: November 6, 2020 @ 12:15pm
d