Sukan Lain

Graf prestasi Andre semakin meningkat

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Pemilik rekod kebangsaan dalam acara lompat jauh Andre Anura Anuar disifatkan sebagai atlet luar biasa yang mempunyai kemampuan untuk mencabar pingat emas di Sukan SEA Vietnam tahun depan.

Memiliki sikap yang cukup berani dan kental, jurulatihnya, Ahmad Firdaus Salim berkata, graf prestasi atlet itu semakin meningkat dan ia satu petanda positif dalam usaha atlet kelahiran Sabah itu melayakkan diri ke temasya Olimpik. Kata Firdaus tiada apa yang mustahil selagi setiap atlet berusaha dan beliau melihat sendiri kelebihan Andre yang dikatakan seorang yang 'tahan tukul'.

"Tahan tukul kalau dalam bahasa Sabah ini bermaksud seorang yang kental. Seorang yang hati kering.

"Dia seorang yang mempunyai bakat yang bagus dalam acara lompat kijang dan juga jauh. Sekarang ini pun saya sedang mempersiapkan dia (Andre) untuk acara lompat kijang bagi menggantikan Hakimi satu hari nanti.

"Saya lihat jika Covid-19 ini tak menggembirakan buat atlet tapi bagi Andre ia sebenarnya satu hikmah. Dia boleh bermula dari kosong dan meningkat secara pelahan-lahan," katanya.

Tegas Firdaus, ini kerana tahun lalu, prestasi Andre meningkat begitu ketara dan sekiranya dia terus berusaha terutama dalam percubaan melayakkan diri ke Olimpik, dia akan berdepan dengan risiko kecederaan.

"Jadi bila Covid ini, dia akan bermula dari kosong jadi tak adalah dia terkejar-kejar untuk cuba melayakkan diri.

"Sekarang ini pun graf prestasinya menunjukkan peningkatan dan ia satu yang bagus dan masih banyak lagi masa untuk terus memperbaiki," katanya.

Andre antara enam atlet yang katakan mempunyai peluang untuk beraksi di Sukan Olimpik selain daripada Hakimi Ismail dalam acara lompat kijang, Lee Hup Wei dan Nauraj Singh (lompat tinggi), Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera) dan Haiqal Hanafi (100m).

Dia kini adalah pemegang rekod kebangsaan acara lompat jauh dengan catatan 8.02 meter (m) yang dilakukan ketika Sukan SEA Filipina tahun lalu bagaimanapun perlu melakukan lompatan sejauh 8.22 m, 0.20m lebih lagi daripada rekod peribadi terbaiknya jika ingin layak secara merit ke Olimpik

Disiarkan pada: November 6, 2020 @ 6:55pm
d