Sukan Lain

Roglic bakal dinobat juara

Oleh AFP

Bejar: Pelumba Slovenia, Primoz Roglic semakin hampir memenangi saingan Vuelta a Espana buat kali kedua selepas menamatkan peringkat perlumbaan kompetitif terakhir dengan menduduki tangga teratas kedudukan pelumba keseluruhan sekali gus menebus kehampaan di Tour de France.

Roglic menerima cabaran sengit daripada pelumba Ineos, Richard Carapaz pada peringkat terakhir cabaran pendakian dengan pelumba Ecuador itu menduduki tempat kedua, ketinggalan 24 saat selepas peringkat perlumbaan ke-17 dimenangi oleh pelumba Perancis, David Gaudu.

"Saya tidak selalu menguasai perlumbaan," kata Roglic selepas menamatkan cabaran berbukit dan melalui laluan perkampungan.

"Saya sangat gembira dan ia cara yang amat menarik menamatkan saingan musim ini."

Roglic yang beraksi bersama pasukan Jumbo-Visma, mendahului peringkat perlumbaan pertama dan kemudian menerima cabaran sengit daripada Carapaz untuk perebutan jersi merah selaku pendahulu keseluruhan dengan pencabarnya itu berjaya muncul pendahulu dalam lima peringkat perlumbaan.

Carapaz menewaskan Roglic pada saingan Giro d'Italia 2019 sebelum menyertai Ineos.

"Saya sememangnya mahu memenangi saingan ini tetapi sudah cukup berpuas hati dengan tempat kedua kerana kami sudah mempamerkan aksi terbaik," kata Carapaz.

Roglic masih perlu menamatkan peringkat perlumbaan terakhir sejauh 139 kilometer (km) ke Madrid.

Kejayaan diraih Roglic itu selepas berdepan kekecewaan di Tour de France yang menyaksikannya gagal mempertahankan kedudukan pendahulu di hujung saingan dengan rakan senegara, Tadej Pogacar.

Disiarkan pada: November 8, 2020 @ 10:28am
d