Sukan Lain

KBS akan maklumkan perincian Belanjawan

Oleh BERNAMA

KBS PERINCI PERBELANJAAN SUKAN 2021 - REEZAL MERICAN

Putrajaya: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memaklumkan perancangan perbelanjaan untuk sukan bagi 2021 selepas mendapat maklumat terperinci peruntukan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan 6 November lalu.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ia termasuk peruntukan kepada persediaan atlet ke temasya antarabangsa seperti Sukan Olimpik, pembangunan sukan berpotensi menyumbang pingat dan sukan permotoran yang dikategorikan di bawah sukan untuk semua.

"Pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada Jumaat lepas tidak menyatakan secara terperinci (mengenai peruntukan). Itu semua termaktub dalam dokumen penuh.

"Selain peruntukan RM55 juta untuk program pembangunan sukan, ada banyak lagi tidak disebut yang ada dalam dalam item butiran dokumen belanjawan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) secara dalam talian hari ini.

Dalam pada itu, Reezal Merican berkata KBS akan melantik Pesuruhjaya Sukan yang baharu sebelum hujung tahun ini, selepas penyandangnya Dr Wirdati Mohd Radzi menamatkan perkhidmatannya bulan lepas, walaupun kontraknya berakhir pada Oktober 2021.

Disiarkan pada: November 9, 2020 @ 9:01pm
d