Sukan Lain

MPM cadang guna struktur latihan secara digital

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menyeru Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) mengaplikasikan struktur latihan secara digital khususnya ke atas atlet yang terbabit dalam Sukan Malaysia (Sukma) dan Para Sukma 2022 di Johor.

Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata kaedah itu dilihat lebih efektif di kala negara dan dunia sedang menghadapi krisis pandemik Covid-19 sekarang.

Beliau menjelaskan, langkah itu adalah lebih berkonsepkan latihan yang menggunakan teknologi terkini bagi membolehkan atlet mencapai prestasi terbaik sama seperti apabila mereka bersaing dalam kejohanan sebenar.

"MPM ingin menyarankan untuk latihan diteruskan walaupun tiada kejohanan utama pada tahun depan bagi atlet pelapis negara. Diharap MSN dapat memberi lebih penekanan kepada latihan mental, kecerdasan emosi dan psikologi atlet," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, KBS dan MSN perlu melihat untuk menerapkan latihan atlet secara digital dalam memodenkan konsep latihan supaya atlet para khususnya, lebih arif tentang latihan berteknologi dan kecerdasan buatan.

"Kita tidak boleh membiarkan tempoh setahun ini disia-siakan. Lebih baik cari jalan untuk membangunkan konsep latihan yang lebih mesra dengan situasi masa kini. Mungkin KBS perlu membuat pelaburan dan bekerjasama dengan syarikat teknologi di luar sana," katanya.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan Sukma dan Para Sukma 2020 di Johor terpaksa dibatalkan ekoran ketidaktentuan penularan wabak Covid-19 yang memasuki gelombang ketiga di negara ini.

Bagaimanapun, Johor tetap diberikan hak penganjuran untuk edisi 2022 kerana negeri itu hampir 99 peratus bersedia dari segi perancangan, pengurusan, teknikal dan kemudahan pertandingan.

Mengulas mengenai pembatalan dan penangguhan itu, Megat D Shahriman berkata MPM menyahut baik dan memberi sokongan penuh kepada langkah yang diambil kerajaan negeri Johor dan KBS untuk tidak meneruskannya temasya berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 10, 2020 @ 11:40pm
    d