Sukan Lain

Patung Barbie edisi khas Farah Ann [VIDEO]

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Farah Ann Abdul Hadi seakan memperoleh pembakar semangat untuk beraksi di Sukan Olimpik Tokyo tahun depan apabila Mattel mengeluarkan edisi khas patung Barbie menyerupai dirinya.

Patung Barbie edisi khas itu dicipta untuk projek 'Dream Gap' dengan harapan memberi inspirasi kepada kanak-kanak merealisasikan impian mereka dengan tema 'Anda Boleh Jadi Apa Saja, Anda Boleh Jadi Atlet'.

Patung khas itu dibuat menyerupai dirinya iaitu berambut hitam dan mengenakan pakaian merah jambu, putih dan emas, pakaian yang dipakainya ketika di Sukan SEA ke-29 di Kuala Lumpur dan Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast.

Bagaimanapun, patung Barbie yang diberi nama 'Shero' itu tidak berada dalam pasaran untuk tujuan jualan dan ia adalah yang pertama dan satu-satunya yang dicipta di Malaysia.

Kempen berkenaan juga disediakan dengan video khas berdurasi satu minit 49 saat Farah Ann bersama seorang kanak-kanak melakukan rutin gimrama senaman lantai.

Video itu juga mengimbau kembali ketika Farah Ann masih lagi kanak-kanak dan dirakam oleh keluarganya sendiri.

Selain Farah Ann, atlet Malaysia yang lain turut dipilih menjadi model Barbie.

Antaranya adalah legenda skuasy negara, Nicol Ann David, penerjun Olimpik Leong Mun Yee, jaguh tenpin boling Shahlin Zulkifli dan atlet luncur ais pecut, Anja Chong.

Dia juga berada sebaris dengan jaguh sukan antarabangsa lain seperti Alex Morgan (bola sepak), Nyimas Bunga Cinta (papan selaju), Dame Valerie Adams (lontar peluru) dan Manasi Joshi (Badminton Para).

Disiarkan pada: November 11, 2020 @ 10:08pm
d