Sukan Lain

TSC nombor 1 Asia

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Henjutan di awal musim berjaya membantu pasukan berbasikal benua negara, Team Sapura Cycling (TSC) untuk meraih ranking pertama Jelajah Asia dan di tangga ke-27 keseluruhan pasukan terbaik dunia untuk musim 2020.

Menurut pengurus pasukan, Sayuti Zahit, beliau berasa gembira dengan kejayaan yang diraih memperbaiki kedudukan musim lalu di tangga kedua Asia di belakang Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG).

"Alhamdulillah kami berjaya melonjak satu anak tangga dan semua ini adalah hasil daripada pencapaian awal sejak musim bermula pada Oktober tahun lalu," katanya.

Jelas Sayuti, walaupun musim ini terganggu dengan pandemik Covid-19, namun mereka tidak mempersiakan permulaan cemerlang termasuk dengan mengumpul mata awal di Kemboja.

"Selepas itu bermula Januari kami mengekalkan momentum sehinggalah ke Le Tour de Langkawi (LTdL), di situ kami berjaya meraih banyak mata selain mempertahankan jersi," katanya.

TSC menduduki tangga pertama Asia selepas mengumpul 1,113 mata, manakala TSG pula di tangga kedua dengan mencatat 864 mata.

Antara perlumbaan lain yang menyaksikan TSC berjaya mengumpul mata ialah di Perlumbaan Klasik Antarabangsa Malaysia, Tour Antalya, Grand Prix Velo Alanya, Grand Prix Manavgat (ketiga-tiganya di Turki) dan Kejohanan Kebangsaan (empat kejuaraan).

"Selepas kita mendahului sejak Januari, kita masih ada momentum namun selepas itu semua pasukan memperlahankan rentak akibat Covid-19, jadi saya harap tahun depan kita akan kembali dalam keadaan normal.

"Tekanan untuk mempertahankan ranking memang ada tapi kita sudah ada pengalaman bagaimana mempertahankan jersi kuning LTdL dua musim berturut-turut. Jadi kita sudah ada pengalaman," katanya.

Sayuti juga berkata segala perancangan untuk musim depan termasuk dari segi barisan pelumba akan diumumkan Disember depan dan beliau mahu mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada pihak penaja utama yang sentiasa menyokong sejak dari penubuhan pasukan pada 2017 hingga sekarang.

Disiarkan pada: November 12, 2020 @ 6:59pm
d