Sukan Lain

All Blacks memalukan

Oleh AFP

Sydney: Jurulatih All Blacks, Ian Foster menafikan bahawa beliau berada dalam tekanan selepas New Zealand kalah mengejut di tangan Argentina dalam aksi Tri Nations.

Kekalahan itu menyaksikan beliau hanya mencatatkan dua kemenangan daripada lima perlawanan sejak mengambil alih pasukan.

Juara dunia tiga kali itu dilihat tidak berdepan masalah untuk menang ke atas pasukan yang mereka tidak pernah tewas selepas 29 perlawanan tapi keputusan kali ini tidak memihak kepada mereka selepas kalah 15-22 di Sydney.

Ia adalah kekalahan kedua berturut-turut sejak 2011 selepas mereka tumbang di tangan Wallabies minggu lalu.

"Peranan ini sentiasa memberikan tekanan dan apa yang saya rasakan sekarang ialah kekecewaan yang amat sangat, di mana saya tidak berjaya meraih apa yang dihajati sejak dalam dua perlawanan terakhir.

"Kami mempunyai pemain yang bagus dan menunjukkan mampu untuk beraksi di tahap tertinggi. Kami harus membuktikan mampu untuk mengulanginya sekali lagi," kata Foster.

Beliau mengambil alih daripada Steve Hansen selepas Piala Dunia tahun lalu di Jepun namun di bawah kendaliannya sekarang pasukan berkenaan dilihat kurang konsisten.

Selepas seri 16-16 menentang Australia dalam perlawanan pembukaan, beliau berjaya merekodkan dua kemenangan ke atas Wallabies sebelum mencatat dua kekalahan.

Foster mengakui Argentina mempunyai lebih keyakinan dan pasukan itu sangat baik berbanding mereka walaupun itu adalah aksi sulung sejak Piala Dunia serta bergelut dengan melakukan persiapan berikutan Covid-19.

Disiarkan pada: November 14, 2020 @ 8:48pm
d