Sukan Lain

Lontaran padu

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Rasa puas. Tiga minggu yang penuh bermakna. Itulah yang digambarkan oleh atlet lontar peluru paralimpik negara, Muhamad Ziyad Zolkefli apabila berjaya melakukan balingan 17.15 meter (m) pada sesi ujian di Majlis Sukan Negara (MSN), baru-baru ini.

Satu pencapaian yang cukup menggembirakan hati ayah kepada dua cahaya mata itu terutama selepas lebih daripada lapan bulan berlatih tanpa ada sebarang pertandingan.

Kata pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio itu, kali terakhir dia mencapai jarak balingan melebihi 17m itu adalah tiga tahun lalu ketika beraksi dalam acara lontar peluru lelaki F20 pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London dengan jarak 17.29m yang juga rekod dunia.

"Saya sangat bersyukur kerana dapat melakukan balingan melebihi 17m. Ia bukan sesuatu yang mudah. Keputusan yang amat menggembirakan saya.

"Dalam tempoh tiga minggu ini saya rasa begitu mengagumkan. Apa yang saya nak semua menjadi. Saya tak pernah rasa begini. Semuanya berjalan mengikut kehendak saya. Saya memang rasa sesuatu yang best.

"Memang tidak dinafikan ketika dalam latihan ada rasa emosi sikit ada putus asa. Tapi tidak bagi saya dalam tempoh tiga minggu ini. Tak pernah dalam hidup saya rasa seperti ini. Saya berjaya mengekalkan prestasi pada tahap yang saya mahukan," kata Ziyad.

Keadaan Ziyad itu memberi gambaran positif bahawa atlet berusia 30 tahun itu mampu mengekalkan momentumnya bagi mempertahankan emas yang dimenanginya empat tahun lalu di Paralimpik Tokyo tahun depan.

"Insya-Allah. Saya akan cuba usaha sangat keras untuk dapatkan emas. Saya akan usaha untuk capai impian saya. Itu adalah pengorbanan atlet. Kadang-kadang saya rasa Covid-19 ini memberi hikmah kepada atlet.

"Biarpun ada kala rasa kenapa tiada pertandingan, kami berlatih untuk apa tapi bila difikirkan hikmah sebaliknya dan teruskanusaha buat yang terbaik, pasti Allah akan bantu atas apa yang kita buat. Alhamdulillah itulah yang saya rasa kebelakangan ini. Semua mengikut apa yang saya mahukan," katanya yang turut menghadiahkan perak ketika Sukan Sea Filipina yang lalu.

Terdahulu Ziyad pernah mengakui prestasinya menurun secara drastik susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan pada 18 Mac lalu bagi membendung penularan Covid-19, namun kini semua sudah kembali ke normal dengan dia sudah menemui sentuhan terbaiknya.

Disiarkan pada: November 15, 2020 @ 7:01am
d