Sukan Lain

Ronaldo 'potong' Usain Bolt

Oleh Agensi

London: Pelari terpantas lelaki sepanjang zaman, Usain Bolt memikirkan 'atlet menakjubkan' Cristiano Ronaldo mungkin dapat menewaskannya dalam perlumbaan ketika ini.

Bolt memecah rekod 100 meter di Kejohanan Dunia 2009 dengan mencatat rekod dunia 9.58 saat dua kali.

Namun legenda Jamaica yang berusia 34 tahun itu, bersara dari olahraga tiga tahun lalu, sementara Ronaldo, 35, aktif memacu peranan penting di Juventus.

Disebabkan itu, Bolt yakin bekas penyerang Manchester United dan Real Madrid itu boleh menewaskannya dalam saingan kelajuan jika bertarung buat masa ini.

Dia memberitahu Marca Sport Weekend: "Sudah pasti Cristiano [lebih laju].

"Pada saya dia bekerja keras setiap hari, dia seorang atlet yang menakjubkan.

"Dia sentiasa memberi persembahan terbaik ketika beraksi, dia bekerja keras dan memberi tumpuan.

"Ketika ini saya memang jangkakan dia lebih laju daripada saya."

Bolt adalah peminat United dan penyokong Ronaldo ketika ikon Portugal beraksi di Old Trafford.

Atlet pecut itu turut mencetus inspirasi dalam karier bola sepak.

Selepas bersara, Bolt menjalani latihan bersama kelab Norway, Stromsgodset dan beraksi di bahagian serangan dalam perlawanan persahabatan menentang pasukan kebangsaan Norway Bawah 19 tahun.

Pada tahun yang sama juga dia menjalani pemilihan pasukan Australia, Central Coast Mariners dan menyertai beberapa aksi persahabatan sebelum ditawarkan kontrak.

Namun lapan minggu kemudian dia mengambil keputuan menggantung boot dan pada 2019 dia mengesahkan tidak lagi meneruskan kerjaya dalam bola sepak.

Disiarkan pada: November 15, 2020 @ 10:44am
d