Sukan Lain

Aryna juara WTA Linz

Oleh AFP

Linz, Austria: Pemain Belarus, Aryna Sabalenka menamatkan musim WTA 2020 dengan penuh bergaya apabila memenangi kejuaraan ketiga tahun ini selepas mencatat kemenangan straight set ke atas pasangan beregunya, Elise Mertens pada final Kejohanan Tenis Wanita WTA Upper Austria, awal pagi ini.

Pemain pilihan utama, Aryna mengatasi pemain pilihan kedua, Elise, 7-5, 6-2 untuk menyamai rekod Simona Halep antara pencapaian terbaik dalam kejohanan ketika musim yang terjejas dengan Covid-19.

Aksi kebiasaannya pada hujung tahun saingan WTA Finals di China dibatalkan kerana pandemik Covid-19, meninggalkan acara di Austria itu yang terakhir pada kempen tahun ini.

Aryna sudah memenangi sembilan perlawanan berturut-turut selepas turut merangkul kejuaraan di Ostrava bulan lalu.

"Ini sesuatu yang menakjubkan," kata Aryna kepada wtatennis.

"Saya tidak mahu berkata apa-apa dan hanya mengharunginya jadi lebih banyak kemenangan akan datang buat saya.

"Ia adalah penutup yang sempurna bagi saya pada musim ini, jadi saya akan bergembira dan berehat pada hari percutian dan pra musim. Saya akan terus berusaha untuk memastikan saya dapat kekal di peringkat ini musim depan."

Ia adalah kejuaraan kelapan pemain berusia 22 tahun itu dalam kariernya, tetapi dia masih belum melepasi peringkat suku akhir Grand Slam.

"Di Grand Slams, saya memikirkan betapa besar saingan itu dan meletakkan terlalu banyak tekanan kepada diri sendiri," akuinya.

"Saya akan cuba tidak melakukannya lagi, dan mengetahui apa yang perlu saya lakukan adalah beraksi di gelanggang, mempamerkan kemampuan dengan aksi terbaik. Itu akan menjadi fokus utama yang perlu dilakukan ketika menyertai kejohanan nanti."

Pemain Belgium, Elise kekal kemarau trofi sejak Terbuka Qatar pada Februari 2019.

Disiarkan pada: November 16, 2020 @ 9:59am
d