Sukan Lain

Fuad belum uji prestasi kategori baharu

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Petinju negara, Muhamad Fuad Mohd Redzuan masih tidak berpeluang menguji prestasinya selepas bertukar kepada kategori 52 kilogram (kg) berbanding 49 kg sebelum ini.

Pemenang pingat emas Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 itu berkata susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tugasnya sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), beliau hanya mengikuti latihan selama dua bulan sebelum kembali ke Lumut.

"Dari Januari sehingga Julai, saya tidak berlatih bersama-sama atlet lain sebab ada kursus di Lumut. Saya hanya sempat masuk latihan dua bulan sahaja, sekarang kembali jalankan tanggungjawab sebagai tentera laut.

"Memang belum sempat ada teman sepelatih untuk saya tengok dan nilai tahap prestasi saya dalam kategori baharu ini. Ditambah pula memang tidak ada sebarang kejohanan tahun ini, jadi saya memang tidak nampak sejauh mana pretasi saya," katanya.

Petinju berusia 29 tahun itu mengakui penularan wabak Covid-19 sedikit sebanyak menjejaskan rentak latihan serta prestasi semasanya.

Namun, di sebalik kekangan dihadapi, Muhamad Fuad tetap 'mencuri' masa lebih kurang sejam setiap hari untuk melakukan latihan kecergasan, pada masa sama memastikan berat badan ideal tercapai.

Sementara itu, mengulas mengenai jurulatih baharu Rustam Saidov, Muhamad Fuad berharap jurulatih dari Uzbekistan itu dapat membantu skuad tinju negara meningkatkan prestasi dan lebih berdaya saing ketika menghadapi lawan.

"Beliau akan mula latih kami pada Januari depan. Jadi, kami ada masa yang agak panjang sebagai persediaan ke Sukan Sea 2021 di Vietnam. Saya harap kami menerima ilmu secukupnya untuk beraksi di Sukan Sea nanti.

"Pada masa sama, saya harap Covid-19 berakhir dengan cepat agar boleh mulakan latihan sparring di luar negara untuk pastikan kami mencapai kembali prestasi yang lama ditinggalkan ini sebelum Sukan SEA 2021," katanya.

Persatuan Tinju Malaysia (PTM) melantik bekas jaguh tinju Uzbekistan dan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Sydney 2000 sebagai ketua jurulatih skuad tinju kebangsaan yang baharu untuk tempoh dua tahun bermula awal Januari tahun depan.

Selain muncul juara Asia pada 1999, 2002 dan 2007, Rustam turut merangkul pingat emas pada Sukan Asia 2002 di Busan, Korea Selatan dan Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar sebelum memulakan kariernya sebagai jurulatih.

Disiarkan pada: November 18, 2020 @ 3:07pm
d