Sukan Lain

Patung Barbie Farah Ann satu penghormatan

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: "Sewaktu saya kecil saya bermain dengan anak patung Barbie. Saya menjadikan mereka seperti anak kecil yang bermain gimnastik.

Berimaginasi dengan patung-patung kecil itu dengan menyuruh mereka melakukan kemahiran sebagai seorang gimnas yang bertanding pentas pertandingan.

"Hari ini saya dipilih sebagai salah satu watak patung Barbie dan mewakili impian anak-anak kecil itu satu yang luar biasa," kata gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi bersama patung Barbie versi dirinya itu.

Pemilihan ratu gimnastik negara itu oleh Mattel yang mengeluarkan edisi khas patung Barbie menyerupai dirinya diharapkan mampu menjadi inspirasi kepada lebih ramai wanita di luar sana untuk mengejar impian mereka.

Farah dalam hantaran di laman sosial Facebooknya memaklumkan bahawa dia langsung tidak pernah terfikir bahawa satu hari nanti akan ada satu patung khas Barbie menyerupai dirinya.

Malah ketika pihak berkenaan menghubunginya bahawa mereka ingin membuat boneka Barbie 'One of a kind', Farah yang bakal beraksi di temasya Olimpik Tokyo itu nyata cukup terkejut.

"Patung Barbie yang kelihatan seperti saya. Ia amat mengagumkan dan saya benar gembira dan bersyukur dipilih. Ini adalah penghormatan yang luar biasa kepada saya.

"Ia satu hadiah yang cukup istimewa. Satu penghormatan dan saya sangat berterima kasih kepada Mattel dan Barbie.

\

Kata Farah, menjadi sebahagian daripada kempen Barbie 'Anda Boleh Jadi Apa Saja' yang bertujuan untuk memberi inspirasi setiap gadis adalah satu kempen yang perlu terus disokong dan diperjuangkan.

"Setiap anak gadis pasti mempunyai impian yang perlu dipupuk dari kecil dan mereka seharusnya diberi peluang untuk merealisasikan impian itu dan berusaha menjadi apa yang diinginkan," katanya.

Patung Barbie edisi khas itu dicipta untuk projek 'Dream Gap' dengan harapan memberi inspirasi kepada kanak-kanak merealisasikan impian mereka dengan tema 'Anda Boleh Jadi Apa Saja, Anda Boleh Jadi Atlet'.

Patung khas itu dibuat menyerupai dirinya iaitu berambut hitam dan mengenakan pakaian merah jambu, putih dan emas, pakaian yang dipakainya ketika di Sukan SEA ke-29 di Kuala Lumpur dan Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast.

Bagaimanapun, patung Barbie yang diberi nama 'Shero' itu tidak berada dalam pasaran untuk tujuan jualan dan ia adalah yang pertama dan satu-satunya yang dicipta di Malaysia.

Disiarkan pada: November 19, 2020 @ 6:12pm
d