Sukan Lain

Haziq masih mencari rentak

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Pemanah senior negara, Haziq Kamaruddin masih lagi mencari rentak untuk kembali ke prestasi terbaiknya apabila turun beraksi di kejohanan simulasi di Padang Sintetik Majlis Sukan Negara Bukit Jalil bermula esok.

Ia adalah kejohanan simulasi yang kedua buat atlet menanah negara dalam tempoh lapan bulan yang diadakan bagi membolehkan atlet negara menilai prestasi terutama buat barisan pemanah yang berpotensi untuk layak ke temasya Olimpik Rio.

Haziq berkata, dia masih lagi mencari sentuhan terbaik kerana mata yang diraih ketika kejohanan simulasi yang pertama minggu lalu tidak begitu memberangsangkan.

"Masih banyak yang perlu diperbaiki. Dari segi 'shooting' saya perlu kurangkan rasa gugup. Saya kena cari jalan untuk selesakan diri ketika 'shooting' di atas 'stage'.

"Dari segi mata pula saya perlu tingkatkan lagi sebab masih belum cukup untuk di bawa ke pertandingan sebenar nanti," katanya yang meraih 326 dan 328 sebelum ini.

Kejohanan simulasi itu adalah Kejohanan yang dianjurkan oleh Bahagian Atlet MSN Bukit Jalil dengan kerjasama Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia dapat mengembalikan semula semangat atlet negara yang masih lagi dalam proses mendapatkan semula rasa pertandingan.

Malah Haziq yang masih lagi memburu tempat ke temasya Olimpik, mengakui bahawa kejohanan itu banyak membantunya merasai suasana pertandingan.

"Saya dapat rasa tekanan ketika beraksi. Boleh rasa macam pertandingan sebenar. Belajar bagaimana nak fokus yang tinggi dan belajar daripada kesilapan yang kita buat di simulasi ini supaya tidak ulang di pertandingan sebenar.

"Saingan sesama rakan sendiri juga sangat baik kerana masing-masing cuba buat yang sehabis baik. Situasi ini sangat bagus kerana kami semua cuba untuk mencapai tahap terbaik dan memperbaiki diri sendiri," katanya.

Haziq kini menjadi taruhan negara untuk layak beraksi di Tokyo dalam acara berpasukan seterusnya mengikuti jejak langkah rakan pasukan, Khairul Anuar Mohd yang terlebih dulu mengesahkan tempat ke Olimpik selepas menduduki tempat kedua Kejohanan Dunia di Belanda tahun lalu.

Kini hanya ada satu lagi peluang iaitu kejohanan kelayakan terakhir di Berlin, Jerman yang akan berlangsung bersama kejohanan Piala Dunia Peringkat 3 yang dijadualkan Jun tahun depan.

Disiarkan pada: November 20, 2020 @ 11:03pm
d