Sukan Lain

Djokovic hampiri rekod Federer

Oleh AFP

London: Novak Djokovic menewaskan Alexander Zverev untuk melangkah ke separuh akhir Final ATP sekali gus kekal di landasan tepat untuk menyamai rekod kemenangan enam kali Roger Federer di kejohanan penutup musim.

Sensasi Serbia itu yang diletakkan selaku pilihan utama dan tewas kepada Daniil Medvedev pada perlawanan kedua saingan round-robin, sekali lagi gagal mempamerkan aksi terbaik di London namun sudah mencukupi untuk melakar kemenangan 6-3, 7-6 (7/4).

Dalam satu lagi perlawanan, pilihan keempat, Medvedev menewaskan Diego Schwartzman 6-3, 6-3.

Djokovic akan bertemu Dominic Thiem pada aksi separuh akhir.

Selepas menyamai rekod Pete Sampras menduduki ranking pertama pada akhir musim untuk tahun keenam, Djokovic kini memburu rekod Federer pula.

Djokovic berkata Thiem yang memenangi saingan Grand Slam pertama di Terbuka Amerika Syarikat (AS) September lalu, adalah lawan yang sukar.

"Di awal kariernya, dia cemerlang beraksi di gelanggang tanah liat tetapi sudah pasti sebagai salah seorang pemain yang berdedikasi, Dominic juga semakin cemerlang di permukaan gelanggang lain," katanya.

"Grand Slam pertamanya diraih ketika beraksi di gelanggang biasa tahun ini di New York. Saya bertemunya tahun lalu di sini dan tewas 7-6 di set ketiga.

"Ia adalah perlawanan yang sukar. Harap kami dapat sekali lagi mempamerkan perlawanan hebat tetapi kali ini dengan keputusan berbeza."

Disiarkan pada: November 21, 2020 @ 10:46am
d